SEJAK 2005, kedua-dua permintaan arang batu dan gas asli global telah meningkat di seluruh dunia. Ketika ini 80 peratus tenaga elektrik dalam negara dijana menggunakan gas asli dan arang batu diikuti oleh minyak dan hidro. Justeru, adakah... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK 2005, kedua-dua permintaan arang batu dan gas asli global telah meningkat di seluruh dunia.

Ketika ini 80 peratus tenaga elektrik dalam negara dijana menggunakan gas asli dan arang batu diikuti oleh minyak dan hidro.

Justeru, adakah terdapat keperluan bagi Malaysia untuk beralih kepada penggunaan tenaga lain sebagai alternatif untuk menjana tenaga elektrik?

Ia bergantung kepada beberapa faktor utama iaitu harga bahan api seperti minyak dan arang batu yang tidak menentu dan isu pelepasan gas rumah hijau global yang dikaitkan dengan fenomena pemanasan global.

Malaysia masih bergantung kepada sumber arang batu sementara pelaburan dalam tenaga alternatif yang boleh diperbaharui (RE) pula kecil.

Pada tahun 2020, hampir 66 peratus permintaan elektrik di Semenanjung Malaysia yang dijana oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah daripada arang batu yang diimport sepenuhnya.

Malaysia membeli sebahagian besar keperluan arang batu terutama dari Indonesia (63 peratus) dan Australia (24 peratus).

Natijahnya, kebergantungan kepada bahan api seperti arang batu import memudaratkan ekonomi, nilai mata wang ringgit, kedaulatan negara dan alam sekitar.

Kebergantungan utama kepada sesuatu bahan api menyebabkan kerajaan tidak boleh mengawal harga arang batu import seterusnya melindungi rakyat Malaysia daripada inflasi bahan api.

Penjanaan kuasa elektrik daripada sumber arang batu turut menyebabkan perlepasan gas rumah hijau dan menyumbang kepada perubahan iklim.

Apatah lagi menurut Suruhanjaya Tenaga (2018), kadar kerosakan stesen jana kuasa arang batu adalah empat kali ganda lebih tinggi berbanding turbin gas kitar padu (CCGT).

KE ARAH RENDAH KARBON

Tanpa arang batu, gas rumah hijau negara dapat dikurangkan sebanyak 10 peratus kerana pelepasan karbon dioksida daripada pembakaran gas asli hanya separuh berbanding dengan arang batu.

Apatah lagi dunia sedang bergerak ke arah rendah karbon dan beralih daripada kebergantungan kepada minyak mentah.

Justeru, Malaysia perlu menyediakan satu perubahan besar dalam penjanaan RE sebagai satu cara untuk negara terus maju ke hadapan selain selaras dengan perkembangan global yang memberi penekanan terhadap penggunaan tenaga mesra alam seperti cahaya suria, angin, ombak dan biomas yang boleh diperbaharui secara semula jadi.

Di seluruh dunia, kebimbangan terhadap perubahan iklim, ditambah pula dengan kenaikan harga arang batu serta minyak dan sokongan kerajaan yang semakin meningkat ke arah penggunaan tenaga yang lebih mesra alam mendorong kepada peningkatan terhadap undang-undang, insentif dan pengkomersialan berkenaan RE.

Merujuk perkembangan serantau, Jepun telah melancarkan dana sebanyak AS$10 bilion untuk mempromosikan penggunaan tenaga bersih di Asia Tenggara, di tengah-tengah peningkatan petunjuk bahawa ekonomi ketiga terbesar di dunia itu kian beralih daripada pelaburan penjanaan kuasa berasaskan arang batu.

Inisiatif Peralihan Tenaga Asia (AETI) yang dilancarkan pada penghujung Mei 2021, bertujuan membolehkan lebih banyak inovasi dan pelaburan berkaitan tenaga yang cekap, diperbaharui dan alternatif bagi loji jana kuasa arang batu. RE muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga paling cepat berkembang dan dijangka menjadi sumber tenaga terbesar pada tahun 2040.

Hakikatnya, Malaysia dianugerahkan dengan taburan hujan tahunan yang tinggi dan tenaga suria yang melimpah ruah bagi menjana RE yang berterusan.

Segala anugerah alam ini dengan bantuan teknologi dan kepakaran sedia ada seharusnya diteroka dan dimanfaatkan semaksimum mungkin bagi memperkasa dasar tenaga negara demi kelangsungan masa hadapan.

Tenaga solar antara paling berpotensi kerana kos pengeluaran peralatan fotovoltaik (PV) yang lebih rendah dan ketersediaan pembiayaan yang mudah bagi projek hijau.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca