PADA hari Isnin, sebuah perbincangan Meja Bulat Aras Tinggi mengenai pendidikan pelarian telah diadakan di Dewan Senat secara bersama dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai dasar pelarian yang disokong oleh... Klik di sini untuk terus membaca

PADA hari Isnin, sebuah perbincangan Meja Bulat Aras Tinggi mengenai pendidikan pelarian telah diadakan di Dewan Senat secara bersama dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai dasar pelarian yang disokong oleh Kementerian Luar Negeri.

Walaupun menggunakan peraturan Chatham House, amat jarang saya melihat sekumpulan ahli politik merentasi pelbagai lingkungan termasuk seorang menteri kabinet bersetuju dalam satu isu dasar awam.

Kerana terdapat penglibatan para aktivis yang mewakili pengalaman selama beberapa dekad memperjuangkan hak pelarian, saya telah menyebutkan tiga perkara utama daripada pertemuan pada hari tersebut dalam ucapan penutup saya.

Pertama, penghujahan untuk pendidikan pelarian perlu dilakukan pada setiap masa.

Rayuan emosi adalah sangat penting dan peringatan bahawa Nabi Muhammad SAW juga merupakan seorang migran (Muhajirin) sudah tentu akan membuatkan orang Islam berfikir tentang sikap mereka terhadap isu ini.

Statistik yang berpandukan kepada kajian yang kukuh juga diperlukan.

Kertas cadangan dasar IDEAS yang diterbitkan pada tahun 2019 bertajuk ‘The Economic Impact of Granting Refugees in Malaysia the Right to Work’ terus dipetik sehingga ke hari ini kerana anggarannya bahawa para pelarian boleh menyumbangkan sebanyak RM3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta meningkatkan hasil cukai sebanyak RM50 juta setiap tahun, dan mencipta 4,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia.

Kertas cadangan ini juga menganggarkan dengan memberikan akses peluang pendidikan kepada pelarian yang setara dengan rakyat tempatan, sumbangan mereka terhadap KDNK akan meningkat kepada lebih RM6.5 bilion setiap tahun dan sumbangan cukai melebihi RM250 juta.

Memetik dasar negara lain, seperti Turkiye terhadap pelarian Syria, memalukan Malaysia.

Beberapa kali sebelum ini, saya telah menyebutkan rasa terhutang budi berterusan oleh seorang warga Australia-Vietnam yang saya temui yang menceritakan bahawa Malaysia telah menyelamatkan nyawanya pada tahun 1970-an ketika dia mencari perlindungan di Pulau Bidong di luar pantai Terengganu walaupun menghadapi dasar menentang yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu.

Tetapi seperti yang saya temui di Sarajevo bulan lalu, rasa terhutang budi ini menjadi berlipat kali ganda untuk setiap kohort pelajar Bosnia yang belajar di universiti-universiti Malaysia sejak awal tahun 1990-an, disebabkan oleh dasar Perdana Menteri yang mengalu-alukan kedatangan mereka ke Malaysia.

PENDIDIKAN BERKUALITI

UIAM merupakan destinasi utama, memberikan pengalaman yang paling konkrit terhadap situasi yang akan berlaku jika dasar yang sama diulangi pada hari ini.

Catatan peribadi yang mendalam yang diterbitkan oleh penerbitan universiti apabila Rektor, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menulis 'buku ini diharapkan akan dapat mendorong lagi idea 'pengantarabangsaan' sebagai usaha untuk membina semula negara asal, berbanding negara tuan rumah, apabila para alumni membuat keputusan dan memberikan sumbangan semula seperti yang ditunjukkan oleh orang Bosnia.”

Manfaat diplomatik, perniagaan dan perdagangan legasi sebegini sememangnya tidak mudah untuk diukur.

Kedua, terdapat banyak inisiatif yang boleh diperluaskan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak pelarian ketika menanti perubahan dasar kerajaan.

Yayasan Chow Kit telah lama memberikan persekolahan di rumah kepada semua yang berada di bawah jagaan kami, manakala Ideas Academy (ditubuhkan dengan kerjasama IDEAS tetapi kini beroperasi secara bebas) hanyalah salah satu contoh cara sektor swasta boleh bekerjasama dengan masyarakat sivil untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua tanpa mengira latar belakang.

Inisiatif sebegini memberikan satu duluan mencukupi kepada dasar kerajaan untuk diikuti; sebagaimana yang diperkatakan oleh para pembicara, terdapat banyak sekolah kerajaan yang mempunyai kadar kemasukan yang rendah (kesan daripada anjakan demografi) dan sekolah-sekolah ini amat sempurna untuk dijadikan program perintis melibatkan anak-anak pelarian.

Ketiga, penubuhan KRPPM mengenai dasar pelarian dengan pertubuhan masyarakat sivil, Yayasan Geutanyoë sebagai sekretariat telah menunjukkan bahawa pembaharuan Parlimen boleh membawa kepada penggubalan dasar yang matang, produktif dan berasaskan bukti berbanding politik yang didominasi skandal sepanjang waktu.

Hanya beberapa tahun lalu, satu kumpulan rentas parti dan seorang menteri kabinet bercakap dengan tegas untuk pembaharuan merupakan sesuatu yang mustahil untuk dibayangkan.

Kebetulan, IDEAS merupakan sekretariat untuk KRPPM mengenai pendanaan politik, yang kemajuan berlaku apabila ahli Parlimen bukan kabinet akhirnya mempunyai peranan Parlimen yang bermakna selain daripada mematuhi arahan ketua whip parti masing-masing ketika mengundi.

Semua ini mewajarkan pembaharuan institusi yang diperjuangkan oleh masyarakat sivil dan badan-badan pemikir selama beberapa tahun ini.

Pada hari Jumaat, Kulliyyah Pendidikan dan Kulliyyah Kejuruteraan UIAM telah tampil memberikan sokongan kepada badan kebajikan IDEAS, mengiktiraf dan memperdalam satu projek penyelidikan bertajuk ‘Emotion Regulated Training for Underprivileged Autistic Spectrum Disorder Children using Adaptive Robotics Platform’ bersama IDEAS Autism Centre.

Hal ini merupakan satu kerjasama yang tidak pernah berlaku yang mungkin meningkatkan pendidikan kanak-kanak autistik di Malaysia.

Keesokan harinya, Kesatuan Pelajar UIAM dilaporkan dalam berita apabila mereka 'mengecam tindakan kerajaan untuk memansuhkan subsidi dan harga siling beberapa barangan rumah' dan mengancam untuk mengadakan bantahan di jalanan.

Saya berharap pihak universiti akan mengambil sikap yang matang terhadap para aktivis pelajar ini sepertimana mereka berbuat sedemikian terhadap pelarian dan kebimbangan autisme.

Semuanya merupakan aspek penting dalam pendidikan!

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS

Klik di sini untuk terus membaca