SHAH ALAM - Lebih ramai peminjam bakal berdepan masalah kekurangan wang dan muflis sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan lagi ketika rakyat berdepan masalah inflasi.
Pakar Ekonomi dari Kolej Universiti i-Cats Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, bayaran ansuran pinjaman yang meningkat dikhuatiri menyebabkan peminjam cenderung membuat pinjaman peribadi sekali lagi daripada sumber lain termasuk pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ah long.
Beliau berkata, kehidupan rakyat Malaysia pada masa kini masih sukar kerana berdepan dengan peningkatan harga barang menjadikan kenaikan OPR sebagai beban tambahan.
"Apabila OPR naik, masalah mereka akan bertambah. Ia beri kesan kepada bayaran ansuran bulanan peminjam. Ini menyusahkan rakyat.
"Kesannya, aliran wang mereka terganggu. Sudahlah harga barangan dan perkhidmatan sekarang semakin mahal, sudah tentu aliran tunai mereka menjadi kurang,” katanya.
Beliau juga percaya akan ramai yang tidak mampu melunaskan ansuran pinjaman bulanan dan muflis, sekali gus sasaran negara untuk menghalang inflasi tidak tercapai.
"Kerajaan pun mahu naikkan nilai ambang kebankrapan. Jika buat macam ini, lebih ramai orang yang berhutang terpaksa menanggung lagi hutang. Akhirnya mereka pinjam ah long,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Shazali turut menegaskan bahawa OPR tidak wajar dinaikkan pada masa kini bagi menghalang inflasi yang sedang dihadapi.
Menurutnya, masalah inflasi sekarang adalah disebabkan terganggunya rantaian bekalan dunia dan bukan disebabkan faktor permintaan pembelian yang meningkat.
"OPR mahu dinaikkan kerana ia dikatakan untuk menghalang inflasi. Inflasi yang dimaksudkan adalah jika peredaran wang terlampau banyak. Bermaksud permintaan terlalu tinggi dalam urusan jual beli.
"Kita nak kurangkan permintaan masyarakat membeli supaya tidak ada tekanan inflasi. Tapi masalah inflasi sekarang ini adalah kerana terganggunya rantaian bekalan di dunia seperti faktor peperangan dan pandemik Covid-19.
"Jadi, adalah salah jika kita naikkan OPR,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca