KETIKA ini kita terpaksa mengakui bahawa rata-rata ahli masyarakat sekarang mengeluh kerana berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Hakikatnya, masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bukan hanya... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA ini kita terpaksa mengakui bahawa rata-rata ahli masyarakat sekarang mengeluh kerana berhadapan dengan masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Hakikatnya, masalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan bukan hanya berpunca daripada peningkatan harga minyak semata mata.

Namun terdapat pelbagai faktor punca kenaikan antaranya gangguan rantaian bekalan global, kenaikan kadar inflasi dan nilai ringgit yang lemah yang sehingga kini kesemua faktor itu mengambil masa untuk diselesaikan.

Menyedari kemelut itu, bagi pihak kerajaan berulang kali menyatakan komitmen untuk terus membantu rakyat menerusi bantuan subsidi yang kini nilainya mencecah hampir RM80 bilion bagi mengurangkan tekanan inflasi.

Malah terdapat juga bantuan secara khusus kepada sesuatu kelompok masyarakat.

Antaranya menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) berbentuk bantuan tunai langsung yang nilainya mencecah sebanyak RM8 bilion setakat ini.

Bagaimana pun semua curahan bantuan subsidi secara menyeluruh ‘blanket’ dan kumpulan sasaran tidak sepenuhnya mampu meredakan tekanan inflasi secara berkesan.

Menurut laporan antara punca menyebabkan ia kurang berkesan kerana masih terdapat ketidaksempurnaan pasaran seperti perbuatan menyorok barang, spekulasi, peranan orang tengah, amalan monopoli dan sebagainya.

Maka tidak hairan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu seluruh gerakan koperasi melalui Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) meneruskan semula ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ dalam memperkasakan agenda sekuriti makanan negara.

Beberapa inisiatif sedang dan akan terus dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi mengurangkan peranan orang tengah dan membolehkan harga barangan dapat dijual pada harga lebih murah.

LANGKAH LEBIH AGRESIF

Selain itu agensi kerajaan yang selalu disebut ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Badan yang mempunyai kuasa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 perlu terus untuk mengawal harga barang serta mengambil tindakan undang-undang ke atas individu atau syarikat yang menaikkan harga barang secara melampau.

Dalam pada itu pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu mengambil langkah-langkah lebih agresif dan secara kolektif bagi memastikan sistem rantaian bekalan makanan berjalan dengan lebih berkesan tanpa gangguan pihak tertentu yang mengambil kesempatan untuk memanipulasi harga dan kos.

Pada waktu yang sama bank pusat perlu mencari mekanisme yang menyeluruh untuk mengukuhkan mata wang negara supaya mampu berdaya saing dari segi penawaran dan permintaan dan sedaya upaya melihat bagaimana kadar dasar semalaman (OPR) dapat menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dan sektor ekonomi ke arah keseimbangan yang lebih adil.

Sektor swasta dan korporat yang terdiri daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) perlu duduk berbincang membantu pembangunan sosio-ekonomi rakyat.

Ini kerana faktor sosial dalam ESG mengambil kira kepelbagaian, hak manusia dan juga perlindungan pengguna.

Ini termasuklah sektor perbankan, telekomunikasi, tenaga, insurans, teknologi dan pelbagai sektor lain yang secara langsung dan tidak langsung.

Dalam memperkatakan jihad, negara perlukan 98 peratus tindakan fizikal berpandukan pelan yang dirancang dan hanya dua peratus teori cakap-cakap kosong yang belum pasti.

Perjuangan jihad membantu rakyat bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata, ia menuntut kerjasama semua pihak kerana kita semua duduk di bawah satu bumbung ‘Keluarga Malaysia’.

* Meor Shahrom ialah Ketua Unit Bisnes

Klik di sini untuk terus membaca