SHAH ALAM - Bekas Ketua Pengarah Pendidikan berpandangan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilaksanakan lebih awal iaitu ketika di Tingkatan 1 berbanding Tingkatan 4 ketika ini bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.
Menurut Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, pelajaran TVET amat diperlukan pada masa kini kerana skopnya luas di mana pelajar boleh memilih sama ada mahu bekerja dalam sektor industri atau melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.
"Orang yang ada kemahiran teknikal boleh menjana pendapatan tinggi kerana kemahiran ini bukan semua orang ada.
"Jika tidak ingin sambung belajar, mereka boleh masuk ke dalam industri. Dengan adanya kemahiran itu, mudah untuk mereka cari kerja atau buka syarikat sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggubal dasar baharu berkaitan TVET agar ia menjadi lebih relevan.
Menurut Ismail Sabri, KPT dan agensi berkaitan perlu menjenamakan semula pendidikan tersebut bagi menghapuskan persepsi ibu bapa terhadap TVET sebagai pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim yang senada dengan perkara tersebut berpandangan, perlu ada komitmen daripada kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar sumber yang mencukupi disediakan termasuk kewangan, kemudahan infrastruktur dan peralatan, serta tenaga pengajar.
Tambahnya, penjajaran ke peringkat seterusnya perlu diteliti supaya ada kesinambungan dan pelajar diberi laluan pendidikan yang boleh diakses.
"Saya setuju TVET ditawarkan lebih awal kerana ia menyediakan lebih peluang pendidikan dan kerjaya bagi pelajar mengikut kebolehan, kecenderungan, minat dan bakat masing-masing.
"KPM telah menyediakan Pendidikan Asas Vokasional (PAV) bagi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 dengan pensijilan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) namun telah ditamatkan secara berperingkat.
"KPM mungkin boleh semak semula program tersebut untuk meneliti kebolehlaksanaannya dengan penambahbaikan atau pembaharuan serta mengambil kira keperluan baharu pasaran tenaga kerja dan permintaan industri,” ujarnya.
OLAH PROGRAM TVET
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta bagi memastikan pengisian dan pengolahan sukatan pelajaran dalam setiap program TVET sentiasa relevan dan memenuhi keperluan industri.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pendidikan TVET perlu melaksanakan kualiti yang tinggi sesuai dengan permintaan pasaran kerja Malaysia dan antarabangsa pada masa kini.
"Graduan TVET Malaysia hendaklah diiktiraf oleh kerajaan di peringkat antarabangsa dan institusi pendidikan tinggi supaya graduan TVET kita diterima masuk.
"Malaysia belum mencapai tahap negara maju dan kita perlu memastikan pendidikan TVET sentiasa ditambah baik dan diperbaharui sesuai dengan keperluan teknologi baharu agar graduan TVET sentiasa relevan dengan kehendak industri,” katanya.
Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, kerajaan hendaklah menjalinkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara-negara maju untuk tujuan kemasukan graduan TVET Malaysia di institusi pengajian tinggi serta latihan industri luar negara.
"Strategi kerajaan untuk memperkasakan sistem TVET adalah langkah wajar dan tepat selaras hala tuju pembangunan negara dan persediaan untuk melaksanakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
"Pendidikan TVET yang sentiasa relevan akan berupaya menjadi ejen perubahan dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing negara,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, penyeragaman sistem pensijilan juga perlu kerana ketika ini ia terbahagi kepada dua iaitu di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
"Terdapat terlalu banyak agensi yang terlibat untuk menjalankan pendidikan TVET dan ini menyukarkan koordinasi polisi TVET yang perlu dilaksanakan.
"Pelajar TVET mempunyai kelebihan praktikal. Ini menjadikan pelajar TVET menyerlah dari segi praktikal berbanding dengan pelajar akademik,” jelasnya
Klik di sini untuk terus membaca