BERJUTA-juta penduduk di Australia terpaksa menghadapi kenaikan harga barangan termasuk tenaga elektrik sehingga terpaksa menempuh tekanan kos sara hidup tinggi berikutan peperangan yang berlaku antara tentera Rusia dengan Ukraine. Perang... Klik di sini untuk terus membaca

BERJUTA-juta penduduk di Australia terpaksa menghadapi kenaikan harga barangan termasuk tenaga elektrik sehingga terpaksa menempuh tekanan kos sara hidup tinggi berikutan peperangan yang berlaku antara tentera Rusia dengan Ukraine.

Perang Ukraine yang berlaku akibat serangan tentera Rusia pada 24 Februari lalu telah menyebabkan pihak pembekal tidak mempunyai pilihan lain selain menaikkan harga barangan kerana berlakunya gangguan dalam isu-isu berkaitan rantaian pembekalan dan penghantarannya.

Ia sekali gus menyebabkan para peniaga terpaksa menjual pada harga yang lebih tinggi kepada para pembeli selepas mengambil kira faktor buruh, harga barang-barang mentah, kenaikan harga minyak dan utiliti sejak akhir-akhir ini.

Kenaikan harga barangan turut dirasai dalam sektor pembinaan apabila lebih 12 buah syarikat terpaksa menghentikan operasi perniagaan pada tahun ini sehingga mengakibatkan ramai pekerja menganggur termasuk dua firma gergasi iaitu Codev yang berpangkalan di Gold Coast dan ProBuild.

KOS BAHAN NAIK

Tindakan itu menyebabkan para pengguna yang menggunakan perkhidmatan syarikat-syarikat berkenaan untuk membina rumah masing-masing telah menghentikan operasi perniagaan sehingga sebuah keluarga iaitu Tiarna Nouwland dan suaminya tertanya-tanya bagaimana mereka akan dapat menyiapkan rumah untuk didiami bersama empat anak perempuan setelah mengeluarkan wang sebanyak A$509,000 (RM1.5 juta) bagi membeli tanah dan membina kediaman yang luas di Gabbadah, utara Perth.

Menurut Matthew Mackey iaitu Pengarah Eksekutif Syarikat Kejuruteraan Arcadis, perniagaan lebih kecil yang tidak mempunyai aliran tunai akan merasai 'kesakitan' lebih awal serta menjadi lebih teruk selain berpendapat tidak banyak firma yang mengambil serius tentang kenaikan kos barangan.

Kos bahan yang meningkat, masalah rantaian bekalan, kenaikan harga bahan api dan kenderaan, kesukaran mencari kakitangan, gaji yang tinggi adalah faktor utama yang menyebabakn kehidupan para majikan dalam sektor pembinaan menjadi sukar.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 85 peratus daripada peniaga telah menaikkan harga barangan yang dijual dengan lebih separuh daripadanya terpaksa berbuat demikian dalam tempoh tiga bulan lalu, menurut laman web pekerjaan, Hipages.

Dengan harga kayu naik sekurang-kurangnya sebanyak 20 peratus dan harga logam meningkat 15 peratus sejak beberapa tahun lalu, pekerja-pekerja berkata, bahan mentah adalah faktor utama yang menaikkan kos dalam sektor tersebut.

Seperti yang dilaporkan akhbar The Australian, pasar raya Coles dan pasar raya Woolworths dijangka menaikkan harga barangan daripada pihak pembekal.

Ketua Eksekutif pasar raya Coles, Steven Cain dilaporkan berkata, kenaikan harga tersebut disebabkan oleh faktor-faktor seperti krisis buruh, kos bahan mentah dan kenaikan kos bahan api serta utiliti.

Australia mengalami kos hidup tinggi sehingga ada rakyatnya melakukan tiga pekerjaan. - Foto AFP

BUAT TIGA PEKERJAAN

Kenaikan harga barangan juga telah menyebabkan seorang wanita muda, Zofia Zayons melakukan tiga pekerjaan ketika berumur 29 tahun dan terpaksa membatalkan keahlian gimnasium, sesi fisioterapi, perkhidmatan penstriman dan telah berhenti makan di luar rumah.

Beliau yang bekerja sebagai Pengarah Kawasan telah membeli rumah pertamanya pada tahun lepas manakala bil elektrik yang dijangka meningkat tidak lama lagi menyebabkan Zayons memutuskan untuk mencari kerja tambahan.

"Saya sedang menguruskan (melakukan tiga pekerjaan) tetapi saya letih dan saya tahu bahawa apa yang saya lakukan sekarang tidak dapat bertahan selama-lamanya," katanya seperti dilaporkan oleh portal berita ABC baru-baru ini.

Wanita itu juga sanggup membeli beberapa sayur-sayuran yang dibekukan dan bukannya segar.

Zayons merungut dengan menyatakan bahawa selepas belajar dalam dua ijazah universiti dan telah bekerja selama lima tahun tetapi masih lagi perlu melakukan kerja tambahan, ia agak mengecewakan.

NASIB PENDATANG

Seorang lelaki India, Vinu Shankar Ganesun dan isterinya, Akila yang berhijrah sejak enam tahun lalu dengan visa pekerja mahir mula mempertimbangkan sama ada perlu kekal tinggal di Australia disebabkan kos hidup yang semakin meningkat.

Ganesun yang menjalankan firma perunding perniagaannya sendiri berkata, pendatang baharu sepertinya berada dalam situasi unik apabila ia melibatkan tekanan kos sara hidup kerana kos bahan api dan barangan runcit telah meningkat dengan mendadak.

Beliau yang tinggal di pinggir barat bansar raya Melbourne dan masih menyara keluarganya di India berkata, adalah sukar untuk mengurangkan kos penggunaan minyak kenderaan kerana pengangkutan awam di kawasannya tidak begitu mudah untuk diakses.

Peningkatan harga minyak juga menyebabkan pengeluar makanan bergoreng tempatan di Australia, WA Chip yang membekalkan produk keluarannya untuk kebanyakan kedai ikan dan kentang di hotel-hotel dan kedai-kedai makan di negara ini turut memikirkan untuk menaikkan harganya.

Ia adalah disebabkan oleh kenaikan harga tenaga sebanyak 60 peratus pada tahun lalu menyebabkan Pengerusi Bukan Eksekutif Wa Chip, Brian Piesse berkata kos pengeluaran barangannya telah meningkat semula.

Peningkatan kos pengangkutan, harga minyak meningkat, pembungkusan, kentang dan minyak masak bermakna syarikat yang berpangkalan di Manjimup itu terpaksa menaikkan harga dan pihaknya tidak lagi mempunyai alternatif lain.

Lebih 90 peratus bahan api seperti petrol dan diesel di Australia bergantung kepada dunia luar dan kebanyakkanya digunakan untuk tujuan pengangkutan di negara itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca