DUA hari lagi, genap setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik dan diangkat menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 7 Julai 2021. Jawatan tersebut diberikan kepada Ismail... Klik di sini untuk terus membaca

DUA hari lagi, genap setahun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik dan diangkat menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 7 Julai 2021.

Jawatan tersebut diberikan kepada Ismail Sabri selepas beberapa bulan UMNO dan Barisan Nasional bergasak serta mendesak Muhyiddin melantik seorang TPM daripada kalangan pemimpin UMNO.

Namun, pelantikan Ismail Sabri mungkin sudah agak terlambat buat Muhyiddin apabila rentetan keengganan Bersatu melayan desakan UMNO menyebabkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai 'pemberontakan' menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional.

Krisis pada Ogos tahun lalu, menyaksikan Ismail Sabri menjadi TPM paling pendek dalam sejarah negara hanya kira-kira sebulan setengah. Namun, Ismail Sabri ibarat mendapat langkah kanan, apabila kejatuhan Muhyiddin membolehkan UMNO mencalon beliau sebagai Perdana Menteri sebelum disokong Bersatu.

Sejak beberapa hari lalu, bagaikan dejavu, peristiwa menuntut jawatan TPM kembali berulang!

Tapi cuma wataknya bertukar. Jika dulu UMNO meminta jawatan itu dan kini giliran Bersatu pula menuntut janji kerusi nombor dua negara.

Persoalannya, adakah langkah Bersatu itu akan memakan diri kerana desakan UMNO dulu pernah menjatuhkan kerajaan PN dan adakah desakan Bersatu kini boleh menjatuhkan kerajaan Keluarga Malaysia sehingga membawa kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)?

Atau adakah tuntutan Bersatu ini adalah sebahagian janji Ismail Sabri dan UMNO untuk mengetuai Putrajaya? Dan apakah implikasi jika Ismail Sabri tidak mempedulikan permintaan Muhyiddin kali ini?

BOLEH JADI PEMANGKIN PRU15

Bagi Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, episod 'kegelojohan' Bersatu menuntut jawatan TPM dijangka menjadi pemangkin utama PRU15 terpaksa disegerakan.

Kata Mohamad Khir, sekiranya Muhyiddin berterusan menekan Perdana Menteri bagi menyerahkan jawatan berkenaan kepada Bersatu, Naib Presiden UMNO itu mungkin tiada pilihan lain selain terpaksa memohon perkenan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

Jelas beliau, Ismail Sabri pastinya sukar untuk menurut kehendak Muhyiddin dan Bersatu agar jawatan TPM diserahkan kepada parti tersebut, pada saat Ahli Parlimen Bera itu juga berdepan tekanan hebat daripada akar umbi UMNO yang menolak sebarang kerjasama dengan parti 'musuh ketat' mereka.

"Saya rasa perkembangan kegelojohan Bersatu hendak menuntut jawatan TPM daripada Ismail Sabri yang akan menjadi pemangkin utama PRU15 terpaksa disegerakan.

"Saya menolak sekeras-kerasnya konflik dalaman UMNO yang menekan Ismail Sabri ketika ini. Ini kerana secara dasarnya UMNO tidak berdepan dengan sebarang krisis, cuma ada dua atau tiga menteri UMNO yang berbeza pandangan sahaja.

"Mereka juga bukan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Lainlah kalau sebahagian besar daripada 52 ahli MKT UMNO berbeza pendapat, itu baru boleh dipanggil krisis parti," tegasnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada polemik krisis dalaman UMNO susulan pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MKT pada dua minggu lalu, bakal mencetuskan kemungkinan Parlimen terbubar dan PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Jawatan TPM dan beberapa portfolio menteri di antara Muhyiddin dan Ismail Sabri adalah berasaskan keterangkuman perjanjian di antara dua figura politik negara berkenaan.

ISMAIL SEORANG 'PARTYMAN'

Mengulas lanjut, Mohamad Khir yang disebut-sebut bakal bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar, turut percaya Ismail Sabri merupakan seorang 'partyman' yang tidak akan akur dengan tuntutan Muhyiddin dan Bersatu, pada saat negara sedang mendepani krisis ekonomi meruncing ketika ini.

Tambahnya, walaupun beliau menjadi Perdana Menteri atas sokongan Bersatu dan Pas selain ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri, Mohamad Khir percaya Ismail Sabri sedang mencari jalan untuk keluar daripada bayang-bayang Muhyiddin daripada kaca mata umum.

"Saya tidak rasa Ismail Sabri akan ikut kehendak Muhyiddin. Hal ini kerana beliau mahu keluar daripada bayang-bayang Muhyiddin susulan masyarakat umum melihat Perdana Menteri sekarang seolah-olah sedang mengikut acuan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

"Justeru, kalau jawatan TPM itu diberikan juga kepada Bersatu, Ismail Sabri akan mengesahkan beliau seorang Perdana Menteri UMNO yang lemah dan sedang dikawal Muhyiddin.

"Selain itu, langkah itu pun tidak menguntungkan Ismail Sabri dari sudut pengaruh politik dalam UMNO, disebabkan akar umbi parti pasti tidak gembira dengan keputusan berkenaan. Ismail Sabri sememangnya dalam dilema ketika ini kerana apa jua keputusan bakal dibuat pastinya menjadi pemangkin kepada ketidakstabilan kerajaan Keluarga Malaysia kelak," jelas Mohamad Khir lagi.

JAWATAN TPM ITU JANJI ISMAIL

Pandangan Mohamad Khir itu bagaimanapun ditolak Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris sekeras-kerasnya.

Menegaskan intipati perbincangan jawatan TPM dan beberapa portfolio menteri di antara Muhyiddin dan Ismail Sabri adalah berasaskan keterangkuman perjanjian di antara dua figura politik negara berkenaan, Razali sebaliknya menjelaskan Bersatu tidak akan sekali-kali mendesak atau mengugut Ismail Sabri dalam memutuskan perkara itu.

"Sebenarnya, apabila Muhyiddin menceritakan beliau berbincang dengan Perdana Menteri mengenai jawatan TPM dan menteri minggu lalu, itu sebenarnya adalah sebahagian perjanjian bagi membolehkan Bersatu dan PN menyokong Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri.

"Jadi dalam perjanjian itu, jawatan TPM dan beberapa portfolio menteri akan diisi oleh pemimpin Bersatu dan perkara itu dipersetujui Ismail Sabri.

"Justeru, Muhyiddin sebenarnya bukan bertindak berlebih-lebihan, beliau sekadar membincangkan hak dipersetujui dua pihak sahaja," ujarnya.

Razali berkata, semua perkara yang dibuat Muhyiddin dalam membincangkan isu pelantikan TPM dan menteri kabinet adalah cukup tertib dan diperakui sendiri oleh salah seorang menteri kabinet daripada UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Ujarnya, sehingga kini, tiada satu menteri UMNO dan BN pun yang menentang cadangan dikemukakan Muhyiddin kepada Ismail Sabri, cuma suara-suara sumbang yang menolaknya adalah terdiri pemimpin-pemimpin UMNO yang pro jepada Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya punya pandangan, Ismail Sabri pun tahu perjanjian yang menyatakan TPM daripada Bersatu, cuma beliau berdepan kekangan daripada pemimpin UMNO yang terlalu mendesak PRU15 diadakan kalau boleh hari esok.

"Hakikatnya Bersatu memang tidak setuju dengan cadangan bubar Parlimen buat masa sekarang. Kita serahkan sahaja soal pelantikan TPM dan menteri kepada Perdana Menteri dan Presiden parti untuk buat pertimbangan terbaik," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca