SHAH ALAM - Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan pengumuman terbaharu dibuat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang menyaksikan beliau tewas kepada Ahli Dewan Negara,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan pengumuman terbaharu dibuat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang menyaksikan beliau tewas kepada Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek bagi perebutan jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022.

Rodziah berkata, sebagai calon beliau berhak bertanya kerana kalau diikutkan logik selepas 12 hari melihat undi meragukan, maka tidak sepatutnya timbul sebarang masalah berbangkit dalam pemilihan PKR kali ini.

Berikutan itu, Ketua Wanita PKR Selangor berkenaan menuntut JPP dipengerusi oleh Dr Zaliha Mustafa memberikan penjelasan sewajarnya mengenai apakah proses yang menyebabkan beliau tewas, biarpun keputusan tidak rasmi sebelum ini menunjukkan dirinya mendahului Fadhlina dengan lebih 1,300 undi.

"Saya agak terkejut dengan keputusan (JPP memberikan kemenang kepada Fadhlina) yang dianggap agak luar biasa. Justeru,

saya sudah menghantar surat meminta penjelasan kepada JPP (hari ini) dan berharap supaya mereka dapat memberikan jawapan secepat mungkin berhubung masalah tersebut.

"Saya juga banyak menerima panggilan bukan hanya daripada calon lain diumumkan kalah di saat akhir, malah ahli Wanita dan cabang PKR di peringkat akar umbi yang bertanya mengenai perubahan keputusan pemilihan parti baru-baru ini. Misalnya mereka yang kalah jadi menang dan sebaliknya serta undi yang hilang," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata, beliau memohon penjelasan itu bukan untuk dirinya seorang sahaja, malah mewakili semua calon dan ahli PKR yang merasakan ada sesuatu tidak kena berlaku kepada keputusan akhir pemilihan parti itu diumumkan, beberapa hari lalu.

Keputusan pertembungan di antara Fadhlina (kanan) dan Rodziah juga bakal dipengaruhi daripada sejauh mana akar umbi PKR menerima tawaran politik dikemukakan Rafizi dan Saifuddin kelak.

MANA HILANG LEBIH 3,200 UNDI

Bagaimanapun, Rodziah berkata, beliau yakin JPP mempunyai penjelasan tuntas dan akan bersabar menunggu jawapan daripada jawatankuasa berkenaan.

"Sebagai contoh saya sendiri mahu JPP memberikan penjelasan mengenai ke mana hilangnya lebih 3,200 daripada undi secara keseluruhan yang peroleh sebelum ini. Ke mana perginya? Kenapa ia dibuang (ditolak) dan sebagainya?

"Bagaimanapun, saya tidak pasti mereka (JPP) akan memberikan penjelasan secara bertulis atau kenyataan media. Namun sebagai calon saya menuntut hak sayalah," katanya.

TIDAK MERAJUK SEHINGGA MAHU TINGGAL PARTI

Dalam pada itu, Rodziah menjelaskan beliau tidak akan meninggal parti itu biarpun JPP kekal dengan keputusan bahawa dia kalah kepada Fadhlina, dalam perebutan jawatan Ketua Wanita PKR.

"Saya sudah berpuluh tahun dalam PKR. Takkan lah saya tindakan macam itu (meninggal PKR). Sebagai orang lama dalam Keadilan (PKR) saya reda sahaja dengan apa berlaku dan akan terus perjuangan bersama Presiden PKR.

"Bagaimanapun, sebagai sebuah parti yang sentiasa mementingan tadbir urus yang baik, saya berharap isu pemilihan PKR perlu ditangani dengan baik oleh pihak bertanggungjawab, supaya penjelasan diberikan jelas dan dapat dirasai oleh ahli parti dan rakyat di peringkat akar umbi.

Ahli-ahli PKR membuang undi untuk pemilihan parti itu pada Mei lalu.- Bernama

"Sebab bukan hanya kami yang bertanya tetapi anggota parti juga mahu penjelasan mengenai apa berlaku sebenarnya. Apa-apa keputusan pun saya tidak akan merajuk dan meninggalkan PKR kerana ia bukan sifat saya sebenarnya.

"Saya hanya memohon untuk penjelasan dan tidak letakkan 'deadline' atau tarikh akhir untuk JPP memberikan penjelasan terperinci sama ada sebelum atau selepas Kongres Nasional PKR 2022 berlangsung nanti," katanya.

Sebelum ini media melaporkan keputusan rasmi yang dipaparkan dalam laman web PKR itu menunjukkan Fadhlina mengalahkan Rodziah dengan 18,923 berbanding 18,891 undi yang diperoleh lawannya. Keputusan terbaharu itu menyaksikan Rodziah hanya tewas tipis dengan perbezaan 32 undi sahaja.

Keputusan terbaru itu diperoleh selepas PKR menjalankan audit terhadap pemilihan lalu, yang menyaksikan keputusan beralih arah menyebelahi Fadhlina yang juga anak sarjana terkenal Islam Allahyarham Siddiq Fadzil.

Jumlah undi diperoleh bagi kedua-dua calon calon juga menurun dari hampir 22,000 kepada hampir 19,000 sahaja. Sebelum ini, dalam pertandingan dua penjuru itu, Rodziah menang 21,962 undi berbanding Fadhlina 21,502 undi.

Sementara itu, jawatan timbalan ketua wanita pula dimenangi oleh ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli dengan 15,693 undi berbanding dua lawannya Napsiah Khamis Maharan (12,043) dan Faizah Ariffin (9,763).

Dalam keputusan tidak rasmi sebelum ini, Juwairiya berjaya meraih 17,743 undi manakala Napsiah dan Faizah masing-masing memperoleh 14,282 dan 11,071 undi.

Tiga jawatan naib ketua wanita pula disandang oleh Wasanthee Sinnasamy (14,947), Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui (13,358) dan Sangetha Jayakumar (13,350).

Pertandingan 10 penjuru itu menyaksikan sokongan di luar jangkaan terhadap Sangetha walaupun bapanya Dr Xavier Jayakumar antara pemimpin PKR yang berpaling tadah daripada parti itu untuk menyokong PN sebagai ahli parlimen bebas pada Mac 2021.

Keputusan bagi tiga naib ketua wanita itu tidak berubah, dengan Sangetha mengekalkan jumlah undi selamat untuk memperoleh jawatan tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca