GOLOK, THAILAND - Minyak masak bersubsidi dari Malaysia dikesan dijual secara berleluasa tanpa kawalan di sekitar pekan Sungai Golok di sini. Siasatan wartawan Sinar Harian pada Selasa membongkar perkara itu, bukan sahaja minyak masak peket... Klik di sini untuk terus membaca

GOLOK, THAILAND - Minyak masak bersubsidi dari Malaysia dikesan dijual secara berleluasa tanpa kawalan di sekitar pekan Sungai Golok di sini.

Siasatan wartawan Sinar Harian pada Selasa membongkar perkara itu, bukan sahaja minyak masak peket bersubsidi seberat satu kilogram (kg), malah minyak masak botol seberat lima dan 10kg turut dijual dan boleh didapati dengan begitu mudah tanpa sebarang had pembelian.

Minyak masak peket berkenaan diletakkan dalam kuantiti yang sedikit di hadapan kedai sebagai ‘pelaris’ menandakan barangan keperluan itu ada dijual di kedai tersebut.

Sedangkan, terdapat banyak lagi stok yang disimpan di dalam kedai dan hanya dikeluarkan sekiranya ada pembeli yang bertanya.

Hasil perbualan wartawan Sinar Harian dengan peniaga mendapati, penduduk tempatan boleh membeli secara borong kerana stok minyak masak dari Malaysia banyak dan sentiasa ada.

Peniaga tersebut mendedahkan, stok bekalan minyak masak peket dari Malaysia tidak pernah putus di kedainya walaupun sekotak.

Malah, katanya, permintaan tinggi daripada pelanggan membuat dia tidak menang tangan untuk mendapatkan bekalan minyak masak dari Malaysia yang dijual sekitar 50 baht (kira-kira RM6) sepeket.

"Biasanya peniaga kecil akan datang ke kedai saya untuk membeli minyak masak Malaysia sebab harganya murah.

"Orang di sini (Thailand) suka minyak Malaysia sebab kualiti. Setakat nak goreng ayam sebanyak dua kali, minyak masih lagi jernih,” jelasnya.

Minyak masak paket yang dijual di sebuah kedai di Padang Besar (Thailand).

Menurut peniaga itu, sepanjang pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu, jualan minyak masak peket dari Malaysia berjalan seperti biasa.

Bahkan, dia mampu menjual kira-kira 600 kilogram minyak masak dari Malaysia dalam tempoh sebulan.

OGHE KERAJAAN KO?

Sementara itu, semasa tinjauan Sinar Harian di pasar Sungai Golok, kebanyakan peniaga berhati-hati dalam percakapan mereka apabila ditanya mengenai stok minyak masak masak peket dari Malaysia.

Malah mereka sempat berseloroh dengan wartawan Sinar Harian, "Oghe kerajaan ko? (Kakitangan kerajaankah?)” apabila ditanya pelbagai soalan berkaitan barangan subsidi yang terdapat di situ.

Selain minyak masak peket, terdapat pelbagai barangan subsidi Malaysia yang boleh diperoleh di pekan tersebut seperti gandum, gula dan minyak petrol yang diisi di dalam botol kaca.

Perbezaan ketara mata wang Thailand dan Malaysia menyebabkan setiap barangan subsidi yang dijual di situ memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang terlibat.

Disebabkan itulah ada pihak tidak bertanggungjawab sanggup menggadai barangan subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia demi kepentingan dan keuntungan sendiri.

Dalam pada itu, seorang penduduk tempatan yang mengambil upah membawa masuk minyak masak subsidi Malaysia ke negara jiran mengakui kesemua barangan disedudup dalam kuantiti sedikit menggunakan pangkalan haram.

Menurutnya, minyak masak peket itu akan dikumpul sebelum dijual kepada peniaga di sekitar pekan Sungai Golok.

"Saya boleh katakan minyak masak peket dari Malaysia banyak membantu perniagaan makanan yang diusahakan secara kecil-kecilan di kawasan ini,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca