SUNGAI GOLOK, THAILAND - Terdapat rakyat di Thailand mendakwa mereka sudah lebih 30 tahun membesar dengan minyak masak dari Malaysia.
Hasil perbualan wartawan Sinar Harian dengan penduduk tempatan mendapati kegiatan itu sudah berlaku sejak tempoh yang lama.
Warga Thailand yang mahu dikenali sebagai Yah, 35, berkata, sejak kecil dia dan keluarganya menggunakan minyak masak dari Malaysia.
"Minyak masak dari Malaysia murah kalau dibandingkan dengan keluaran tempatan (Thailand). Macam kami orang kampung, sudah tentu lebih suka beli yang murah.
"Minyak masak peket dari Malaysia juga berkualiti. Sebab itu orang Thailand suka gunakan minyak masak dari Malaysia apabila memasak,” jelasnya.
Yeh berkata, biasanya dia akan membeli minyak masak peket dalam kuantiti banyak untuk dibuat stok di rumah.
Menurutnya, jumlah itu mampu bertahan lebih sebulan dan tidak perlu pergi ke pekan Golok untuk mendapatkan bekalan minyak masak tersebut.
Seorang lagi penduduk tempatan dikenali sebagai Kob, 55, berkata, seluruh ahli keluarganya menggunakan minyak masak peket dari Malaysia sejak berzaman.
Jelasnya, minyak masak peket dari Malaysia boleh digunakan sekurang-kurangnya dua kali untuk menggoreng ayam atau ikan kerana kualitinya yang bagus.
"Minyak masak ini juga mudah diperoleh kerana rumah kami dengan Malaysia antara pekan Golok dan Rantau Panjang (Pasir Mas, Malaysia) hanya dipisahkan dengan sungai.
"Kami juga tidak pernah putus bekalan minyak masak. Saya ada terbaca di Facebook, orang di Malaysia sekarang sedang merungut kerana harga minyak masak sudah naik dan sukar diperoleh,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Kelesom, 44, berkata, kebanyakan minyak masak keluaran Thailand diperbuat daripada bunga matahari dan kacang soya.
"Minyak matahari dan soya kurang sesuai untuk menggoreng ayam dan ikan. Sebab itulah kami pilih minyak masak dari Malaysia selain harganya yang murah, sedap dan berkualiti tinggi,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca