PADANG BESAR, THAILAND - Laku dan mudah diperolehi.
Itulah yang didapati menerusi siasatan wartawan Sinar Harian berhubung bekalan minyak masak peket bersubsidi seberat satu kilogram (kg) dari Malaysia yang dijual di Padang Besar, Thailand.
Kebanyakan kedai di sini menjual minyak masak dari Malaysia termasuk minyak masak botol seberat lima dan 10kg secara terbuka dan tanpa sebarang had pembelian.
Wartawan Sinar Harian menyamar sebagai pelancong di satu kawasan beli-belah di sempadan Perlis-Thailand yang terletak kira-kira dua kilometer (km) dari Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQs) Padang Besar pada Selasa.
Pada peringkat awal, hasrat untuk meninjau bekalan minyak masak di pasaran negara jiran hampir tidak berjaya apabila pemandu teksi enggan menghantar wartawan ke sempadan negara sebaik mengetahui tujuan ke negara berkenaan.
Menurut pemandu teksi itu, isu berkenaan berbahaya dan besar memandangkan penjualan minyak masak peket dari Malaysia dipercayai dijaga oleh gengster.
Bagaimanapun, seorang pemandu teksi bersetuju membawa wartawan hingga ke sempadan Thailand apabila dimaklumkan hanya mahu membeli-belah di Padang Besar, Thailand atau dikenali sebagai pekan Siam, bersempadan dengan Perlis-Thailand, sebelum melancong ke Hatyai.
Sebaik menjejak kaki di kawasan perniagaan itu, didapati kawasan berkenaan lengang, cuma terdapat seorang dua pengunjung dari Malaysia disebabkan hari bekerja.
Kebanyakan peniaga enggan menjawab soalan ketika wartawan bertanyakan mengenai minyak masak peket.
Mereka hanya memberi respons apabila wartawan berpura-pura seperti pelancong untuk membeli barangan lain.
Penyamaran dilakukan wartawan Sinar Harian mendapati minyak masak bersubsidi satu kg dari Malaysia dijual secara terbuka di beberapa kedai runcit di sini.
Lebih mengejutkan, kebanyakan kedai menjual minyak masak paket satu kg dan botol lima atau 10kg sama seperti di Malaysia dan diletakkan secara terbuka dalam kotak bersama barangan keperluan lain seperti bawang dan biskut di hadapan kira-kira lima kedai barangan runcit di kawasan tersebut.
Ada peniaga meletakkan tanda harga 55 baht pada minyak masak peket, bagaimanapun ada yang tidak meletakkan sebarang tanda harga dan hanya akan memberitahu pelanggan apabila ditanya.
Melalui satu temu bual dengan peniaga tempatan yang hanya ingin dikenali sebagai Siti, minyak masak paket berkenaan sememangnya menjadi tumpuan penduduk setempat.
"Ya, kita memang jual minyak masak peket dari Malaysia kerana harganya lebih murah berbanding minyak masak di negara ini.
"Kita jual minyak masak paket pada harga sekitar RM6 atau lebih kurang 50 baht sahaja,” katanya.
Ketika wartawan mahu membeli minyak masak tersebut, peniaga itu kehairanan.
"Bukankah di Malaysia banyak minyak masak ini, mengapa ingin beli di sini,” soalnya.
Apabila dimaklumkan bahawa minyak masak peket sukar didapati di Malaysia, peniaga itu terkejut kerana mereka tidak pernah menghadapi masalah dengan stok.
Klik di sini untuk terus membaca