ARAB Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan negara kaya dengan minyak mentah di rantau Teluk bertindak segera bagi membantu rakyatnya kerana menghadapi tekanan hidup akibat kenaikan harga barangan yang diburukkan lagi dengan... Klik di sini untuk terus membaca

ARAB Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang merupakan negara kaya dengan minyak mentah di rantau Teluk bertindak segera bagi membantu rakyatnya kerana menghadapi tekanan hidup akibat kenaikan harga barangan yang diburukkan lagi dengan Perang Ukraine.

Sehubungan itu, pada Isnin lalu, Arab Saudi mengumumkan berbilion-bilion dolar akan diagihkan secara terus kepada rakyatnya untuk mengurangkan kesan inflasi di tengah-tengah ungkapan kekecewaan warganya yang diluahkan menerusi online berikutan kenaikan harga.

"Perintah bermurah hati diraja dikeluarkan dan meluluskan peruntukan sokongan kewangan dalam jumlah 20 bilion riyal (RM23.55 bilion) untuk menghadapi kesan kenaikan harga di seluruh dunia,” lapor Saudi Press Agency yang merujuk kepada keputusan pemerintah negara tersebut, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Raja Salman mengeluarkan titah diraja itu dan meluluskan peruntukan tersebut bagi menghadapi kenaikan harga global termasuk 10 bilion riyal (RM11.77 bilion) untuk para penerima keselamatan sosial dan Akaun Program Warganegara.

Arahan itu dikeluarkan berdasarkan syor yang dikemukakan oleh Putera Mahkota, Putera Mohammed Bin Salman atas kapasitinya sebagai Presiden Majlis Hal Ehwal Ekonomi dan Pembangunan (CEDA) kepada ayahandanya, Raja Salman.

Jumlah itu turut melibatkan peruntukkan yang disalurkan melalui pemindahan wang tunai terus kepada para penerima sistem keselamatan sosial, Program Akaun Warganegara dan Program Sokongan Penternak Ternakan Kecil.

Di bawah perintah Raja Salman, sejumlah 2 bilion riyal (RM2.35 bilion) akan diperuntukkan untuk pembayaran pencen tambahan yang akan dikeluarkan sekali sahaja untuk benefisiari sistem keselamatan sosial pada tahun 2022.

Pendaftaran dalam Program Akaun Warganegara akan dibuka semula selaras dengan peraturan yang diumumkan sebelum ini.

Selain itu, sejumlah SR8 bilion akan diarahkan sebagai sokongan kewangan tambahan untuk benefisiari daripada Program Akaun Warganegara untuk sepanjang tahun 2022 berdasarkan peraturan yang diumumkan sebelum ini.

Para penerima daripada Program Sokongan Penternak Kecil akan diperuntukkan sokongan kewangan sebanyak 408 juta riyal (RM480.40 juta).

Kerajaan Arab Saudi membantu penduduknya bagi menghadapi kenaikan harga barangan. - Foto AFP

Pemberian itu diberikan selepas Arab Saudi mencatatkan lebihan belanjawan sebanyak 57.49 bilion riyal (RM67.69 bilion) pada suku pertama tahun ini apabila perolehannya meningkat 36 peratus kepada 278 bilion riyal (RM327.33 bilion), kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan pada bulan lepas.

Pertumbuhan ekonominya adalah disokong oleh peningkatan aktiviti minyak dan bukan minyak apabila pengeluaran minyaknya bertambah kukuh dan tekanan pendemik Covid-19 yang berkurangan menghidupkan semula permintaan domestik, menurut laporan Kementerian Pelaburan negara berkenaan.

Indeks pengeluaran perindustrian kerajaan negara beraja itu juga melonjak untuk bulan ke-11 berturut-turut pada Mac lalu untuk mencapai paras tertinggi sejak April 2020.

Arab Saudi merupakan negara pengeksport minyak mentah nombor satu di dunia pada tahun 2021 apabila pengeksportannya mewakili 16.5 peratus daripada pasaran minyak mentah dunia dengan nilai sebanyak AS$161.7 bilion (RM714.63 bilion).

UAE BERI ELAUN MINYAK PETROL

UAE turut menggandakan sokongan kewangan kepada keluarga-keluarga di negara berkenaan yang berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah 28 bilion dirham (RM33.69 bilion) untuk membantu mereka dengan inflasi yang melambung tinggi di negara Teluk.

Isi rumah keluarga yang pendapatan sehingga 25,000 dirham sebulan (RM30,080) layak untuk mendapatkan bantuan bagi mengurangkan inflasi yang sedang meningkat.

Peruntukan sebanyak 28 bilion dirham itu diluluskan oleh Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Isnin lalu dan ia merupakan pengembangan ketara dana sedia ada untuk keluarga yamg berpendapatan rendah.

Kerajaan UAE berhasrat untuk mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api yang telah meningkat lebih daripada 70 peratus di negara berkenaan sejak Januari lalu sejajar dengan kenaikan harga minyak di pasaran global.

Menteri Pembangunan Komuniti UAE, Hessa Buhumaid dilaporkan berkata, para penerima elaun subsidi minyak kenderaan akan dihubungi terus oleh pihak kementerian sebelum mereka boleh segera pergi ke mana-mana stesen minyak untuk menerima elaun pada bulan ini.

Beliau berkata, elaun itu diperbaharui pada setiap bulan dan diberikan sehingga 400 liter untuk bapa dan jika kedua-dua pasangan mempunyai kereta jumlah kapasiti minyak yang diberikan ialah sehingga 500 liter.

Penduduk tempatan di UAE adalah mewakili kira-kira 10 peratus daripada populasi negara tersebut yang berjumlah hampir 11 juta juta orang pada tahun ini dengan kebanyakannya adalah pekerja asing.

Sebilangan besar daripada mereka adalah pekerja kolar biru yang bergaji rendah yang boleh dikatakan semuanya ialah warga asing sekali gus bermakna mereka tidak akan mendapat manfaat secara langsung daripada pengembangan faedah hasil bantuan kerajaan negara tersebut.

Negara itu mengeksport minyak mentah sebanyak 7.1 peratus daripada pasaran global dan menduduki tempat kelima pada tahun lalu dengan nilai AS$69.4 bilion (RM306.71 bilion).

Sejak beberapa bulan lalu, mereka yang tinggal di UAE termasuk warganegara dan warga asing menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup dengan harga runcit bahan api sahaja melonjak naik sekitar 80 peratus. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca