BARU-BARU ini, seorang pelajar, Syida menemu bual saya secara Google Meet untuk menyiapkan tugasan dalam program Pengajian Media. Syida tidak kekok bertanya soalan, persis seorang wartawan. Tentulah perbualan menjadi rancak kerana dia... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini, seorang pelajar, Syida menemu bual saya secara Google Meet untuk menyiapkan tugasan dalam program Pengajian Media.

Syida tidak kekok bertanya soalan, persis seorang wartawan. Tentulah perbualan menjadi rancak kerana dia mempunyai keyakinan diri.

Namun, berbeza pula apabila Syida tampak kurang keyakinan diri. Saya memang biasa berdepan manusia yang mempunyai perawakan berbeza. Syida extrovert sebagai pelajar kewartawanan tetapi sebaliknya introvert sebagai seorang gadis.

Dan, dia meminta pandangan saya mengenai apa yang harus dia lakukan sebaik sahaja tamat pengajian.

Setelah berfikir sejenak, saya memberikan input. Saya kata, walau apa pun yang diingini, pertama, seseorang itu harus tahu apa yang dia hendak. Sekurang-kurangnya seseorang itu mesti mempunyai gambaran dengan apa yang diingininya.

Jika ingin menjadi seorang doktor, dia harus punyai imej berpakaian jubah putih dan stetoskop berlingkar di dadanya. Dia mesti ‘nampak’ dirinya sebagai orang yang telah berjaya mencapai apa diingininya.

Kedua, seseorang itu mesti tahu di mana dia berada sekarang. Umpama seseorang yang ingin memandu ke sesebuah tempat, dia mesti memasukkan maklumat dia di mana dan hendak ke mana dalam aplikasi Waze sebelum ditunjukkan jalan. Ramai orang ‘tidak sedar dirinya berada di mana’ sebelum melangkah ke mana-mana.

Ketiga, untuk mencapai sesuatu, kita mesti tahu cara mendapatkannya. Jika ia mengenai kelulusan, dia mesti tahu apakah mata pelajaran yang perlu diambil. Berapakah kelayakan minimum dan di manakah dia boleh melanjutkan pelajarannya. Seandainya ia mengenai kerjaya, seseorang itu perlu tahu kemahiran yang perlu dia ada dan latihan perlu dilalui.

LOGIK AKAL

Keempat, seseorang itu mesti tahu bilakah dia ingin mencapai apa yang dihajati. Kerangka waktu atau garis waktu adalah perlu jika seseorang mahu mencapai sesuatu. Jika tiada ketetapan ‘bila’, maka dia mungkin berbuat sesuatu sambil lewa dan bertangguh, yang akhirnya tidak kesampaian. Hanya menjadi angan-angan Mat Jenin.

Dan kelima, perkara yang tidak ramai suka memikirkan adalah memahami hakikat bahawa apa yang dicapai itu kesemuanya dengan izin ALLAH dan apa yang tidak diperoleh itu juga dengan kehendak ALLAH.

Apabila kita berasa yang kita akan mencapai sesuatu diingini kerana kita berusaha secara mutlak tanpa mengambil pertimbangan ketentuan-Nya, maka orang berjaya akan berasa dia berjaya kerana usahanya semata-mata.

Dia akan mengikut logik akal bahawa dia akan mendapat apa yang dihajatinya apabila dia bersungguh-sungguh.

Dengan tanggapan bahawa dia berhak berjaya setelah berusaha, dia tidak dapat menerima hakikat kegagalan. Dia akan kecewa, tawar hati, hilang keyakinan diri, malah ‘marahkan Tuhan’ kerana berasa dirinya tidak diberi keadilan. Dia masih gagal walaupun telah berusaha bersungguh-sungguh.

Padahal, manusia hanya melihat dia berjaya apabila mencapai apa yang dihajati dan berasa gagal bila tidak dapat menunaikan kehendaknya, sedangkan setiap langkah serta gerak manusia itu diperhati-Nya dan terpulang kepada ALLAH hendak memberi atau menafikan kehendak seseorang. Namun, ALLAH tetap memberi markah yang sama bagi setiap usaha manusia sama ada berjaya atau sebaliknya.

Proses usaha itulah yang pasti diberi ganjaran. Kejayaan atau kegagalan hanyalah perhentian sementara. Orang berjaya mungkin menjadi lebih baik atau sombong dengan kejayaannya. Orang gagal mungkin merajuk dengan Tuhannya atau menambah doa dan menjadi insan yang taat.

Selepas berusaha, tindakan orang berjaya atau gagal itulah yang akan diberi markah.

Lama Syida termenung, kemudian mengangguk tanda faham.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca