‘AIR sama air menjadi satu, sampah ke tepi juga’. ‘Seperti sampah hanyut’. ‘Sampah masyarakat’. ‘Bagai sampah masuk ke mata’. Di atas adalah contoh peribahasa Melayu yang mempunyai kaitan dengan sampah. Jelas, tidak ada satu... Klik di sini untuk terus membaca

‘AIR sama air menjadi satu, sampah ke tepi juga’.

‘Seperti sampah hanyut’. ‘Sampah masyarakat’.

‘Bagai sampah masuk ke mata’.

Di atas adalah contoh peribahasa Melayu yang mempunyai kaitan dengan sampah. Jelas, tidak ada satu pun di antaranya yang membawa konotasi positif. Dan itulah realitinya.

Di mana-mana pun secara umumnya, asal disebut sahaja sampah, maka secara spontan akan terlintas di fikiran tentang segala sesuatu yang tidak berguna. Sesuatu yang jika dibiarkan bersepah, emak akan marah atau isteri akan membebel.

Sampah bukanlah terbatas pada sisa makanan, kertas, plastik pembungkus, daun kering, puntung rokok suami atau tisu basah isteri tetapi juga segala benda lain yang dibuang. Dalam skop lebih luas, ia diistilahkan sebagai sisa pepejal.

Sampah dibahagikan kepada dua kategori – sampah organik dan sampah anorganik. Jika hendak tahu lebih lanjut, sila rujuk Uncle Google.

Dahulu, ratusan malah ribuan tahun yang lampau, sampah bukanlah masalah besar. Manusia tidak begitu ramai dan benda yang boleh bertukar sifat menjadi sampah pun tidak banyak. Ketika itu belum ada kertas pembungkus barang, tin-tin, plastik dan seumpamanya. Setakat sisa makanan, kulit buah-buahan, benda-benda buruk yang kebanyakannya mudah diuraikan oleh mikroorganisma tanah, tentu sahaja tidak mendatangkan mudarat.

Sekarang keadaan berbeza. Lebih-lebih lagi dalam dunia baharu. Manusia bertambah ramai, segala benda berbalut dan berbungkus, sampah menjadi masalah besar kepada alam semesta. Apatah lagi, jenis sampah juga menjadi sangat pelbagai dengan ada antaranya menimbulkan bahaya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar disebabkan oleh bahan-bahan yang diguna semasa pembuatannya.

Laporan Bank Dunia menunjukkan setiap tahun lebih dua bilion tan sampah pelbagai kategori disumbangkan oleh manusia kepada bumi. Di Malaysia sahaja, pada 2021, jumlah sampah dikutip melebihi 38,000 tan sehari. Meningkat lebih 5,000 tan berbanding 2012.

BANK SAMPAH

Harus diingat, jumlah itu adalah sampah yang dikutip secara rasmi di kawasan perbandaran dan majlis daerah sahaja. Maknanya, ada banyak lagi sampah dibuang atau dilupuskan sendiri yang kita tidak tahu berapa berat timbangannya. Seingat saya, belum pernah lagi saya tengok orang kampung timbang sampah sebelum dibuang.

Dengan jumlah sedemikian banyak, cuba bayangkan apa akan terjadi kepada dunia ini jika sampah tidak diurus dengan betul. Kalau dilonggokkan di darat, mungkin tenggelam pekan dan bandar, kalau dibuang ke laut mungkin muncul menjadi pulau. Bagaimana pula kesannya kepada kesuburan tanah dan alam sekitar?

Pun begitu, di sebalik segala yang negatif mengenainya, sampah memberi sumbangan besar kepada ramai orang. Kemajuan dunia baharu membolehkan sampah diasingkan dan diproses mengikut kesesuaiannya untuk dimanfaatkan manusia termasuk sebagai sumber tenaga. Disebabkan itu, sampah sekarang ini mempunyai nilai ekonominya tersendiri.

Di Indonesia sebagai contoh, wujud apa yang dinamakan Bank Sampah, satu sistem di mana sampah yang telah dipilih dikumpulkan sebelum diasingkan bagi pelbagai tujuan. Paling popular tentulah kitar semula. Tetapi selain daripada itu, macam-macam lagi yang boleh dibuat dengannya.

Terbukti Bank Sampah yang diasaskan sekitar 2012 itu menjadi usaha yang sangat berjaya. Selain melancarkan pengurusan sampah, ia menjadi medan rezeki. Pada 2018, terdapat lebih 8,000 Bank Sampah di seluruh Indonesia. Bayangkanlah jumlah orang yang boleh ‘mencari makan’ dengannya.

Banyak lagi contoh lain untuk menunjukkan bahawa dalam dunia baharu ini sampah boleh menjadi sumber kekayaan. Di negara kita ini pun tidak sedikit yang menjadi kaya-raya kerananya. Yang penting adalah usaha dan istiqamah. Kalau hendak kutip sampah pun malas, apatah lagi kalau main buang ikut suka hati melalui tingkap kereta, payahlah hendak cerita.

Orang seperti itu hanya layak menjadi sampah. Tak lebih, tak kurang.#dush Apatah lagi, jenis sampah juga menjadi sangat pelbagai dengan ada antaranya menimbulkan bahaya kepada kesihatan manusia dan alam sekitar disebabkan oleh bahan-bahan yang diguna semasa pembuatannya.

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai tahun 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.

Klik di sini untuk terus membaca