SHAH ALAM - Penolakan kaum Cina terhadap MCA ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 berpunca daripada sikap pemimpin yang tidak mengendahkan keluhan rakyat.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mengakui, kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh pembangkang untuk menabur pelbagai janji bagi menarik sokongan rakyat kepada mereka.
"Pada ketika itu banyak perkara yang dilihat sebagai tidak sempurna, antaranya kita tidak mendengar pandangan rakyat. Kemudian pada waktu sama pembangkang pula gunakan cara (iaitu) menampilkan buku Harapan dengan janji-janji manis walaupun terbukti tidak boleh buat, tetapi orang termakan dengan dakyah itu.
"Kita faham senario politik pada masa itu apabila secara berpanjangan mereka menang, setiap kali kempen, demonstrasi jalanan dan sebagainya, generasi pada masa itu memikirkan sesuatu perlu dilakukan (maka) yang terbaik adalah mencari peluang untuk mengguling kerajaan sedia ada.
"Tetapi kita juga muhasabah diri kerana tahu apabila ada parti yang dapat mengganti kita, kena terima hakikat menjadi pembangkang. Kita juga berupaya jadi pembangkang yang baik dan akhirnya kita lihat apabila Pakatan Harapan (PH) berkecai, kita berpeluang menjadi kerajaan semula," katanya ketika program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, Barisan Nasional (BN) tidak boleh rasa selesa walaupun berjaya memenangi dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor baru-baru ini.
Ka Siong berkata, BN sudah mendapat mesej yang jelas bahawa rakyat serik dan kecewa dengan pemerintahan PH selama 22 bulan ekoran setiap janji yang ditunaikan tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
"Memang ada sebahagiannya merasakan sangat sedih dan putus asa. Ada yang menganggap mereka tidak akan menyokong PH lagi. Ada golongan yang kekal dengan PH dan ini memberi mesej kepada kita dalam saingan hebat ini, patut kita lakukan sesuatu yang luar biasa.
"BN tidak boleh menjanjikan bintang dan bulan (atau) janji seperti seorang populis (iaitu) apa yang rakyat nak, kita bagi tetapi gagal bila memerintah.
"Jadi dalam konteks ini apabila kita menjadi kerajaan, kena tunjukkan kemampuan seperti mana 60 tahun lalu kita sudah lalui proses itu. Apa yang boleh bantu rakyat dan cara mentadbir urus negara adalah perkara yang mahu dilihat rakyat," katanya.