SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) menafikan keputusan akhir Pemilihan Parti Keadilan Rakyat 2022, sengaja dimanipulasi oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail, kalah dalam perebutan jawatan Ketua Wanita kepada Ahli Dewan Negara, Fadhlina Sidek.
Pengerusinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan berkenaan diumumkan JPP adalah berdasarkan hasil dapatan dan cadangan balas daripada pakar digital terhadap semua hasil audit forensik dilaksanakan oleh pakar.
Malah, Zaliha berkata, pakar digital yang dilantik mempunyai parameternya yang tersendiri bagi menilai kembali keputusan yang diterima sebelum ini.
"Kita juga akan memberikan penerangan kepada kepimpinan PKR mengenai semua isu berbangkit dan saya berharap apabila pimpinan dijemput khususnya YB Rodziah akan hadir mendengar taklimat ini," katanya kepada Sinar Premium.
Terdahulu, Sinar Premium melaporkan Rodziah, melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan pengumuman terbaharu dibuat JPP yang menyaksikan beliau tewas kepada Fadhlina bagi perebutan jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan PKR 2022.
Malah Rodziah berkata, sebagai calon beliau berhak bertanya kerana kalau diikutkan logik selepas 12 hari melihat undi meragukan, maka tidak sepatutnya timbul sebarang masalah berbangkit dalam pemilihan PKR kali ini.
Berikutan itu, Ketua Wanita PKR Selangor berkenaan menuntut JPP dipengerusi oleh Zaliha memberikan penjelasan sewajarnya mengenai apakah proses yang menyebabkan beliau tewas, biarpun keputusan tidak rasmi sebelum ini menunjukkan dirinya mendahului Fadhlina.
Rodziah berkata, beliau memohon penjelasan itu bukan untuk dirinya seorang sahaja, malah mewakili semua calon dan ahli PKR yang merasakan ada sesuatu tidak kena berlaku kepada keputusan akhir pemilihan parti itu diumumkan, beberapa hari lalu.
Dalam pada itu, keputusan audit forensik yang keluar pada Selasa lalu juga menyaksikan berlaku beberapa perubahan dalam keputusan awal pemilihan sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak.
Ini termasuklah bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang mendakwa jawatankuasa itu mengabaikan aduan dan bantahan dibuat ke atas pengundian atas talian (PAT) menerusi aplikasi Adil.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, JPP juga sudah menerima dan meneliti lebih 1,800 aduan dan bantahan diterima daripada pemimpin dan ahli PKR sepanjang proses pemilihan PKR 2022 berlangsung.
"Dalam JPP kita buat perkara yang betul, dalam bertanding ada kalah menang. Saya cuma ada dua pilihan, kalau saya ambil yang ni, pihak ini akan kecewa. Kalau ambil belah sini, orang ini pula kecewa.
"Saya tak boleh ambil keputusan tergantung, jika tak bagaimana parti nak bergerak ke hadapan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca