SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen mempersoalkan di mana gagalnya fungsi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada saat banyak cadangan majlis bebas itu diguna pakai kerajaan sewaktu mendepani krisis Covid-19.
Ketua Bersatu Bahagian Tangga Batu itu turut meminta mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan fungsi MPN, lebih-lebih lagi setelah Muhyiddin menawarkan diri untuk berkhidmat secara ikhlas dan menolak sebarang bentuk elaun diperuntukkan kerajaan.
Jelasnya, sebagai sebuah majlis neutral dan berfokus dalam membaik pulih keadaan negara kita selepas terkesan dengan Covid-19, MPN hanya boleh memberi cadangan konstruktif kepada kerajaan dengan keputusan akhir terserah kepada pentadbiran Putrajaya untuk mempertimbangkannya.
"Sebenarnya tidak timbul isu MPN atau Muhyiddin gagal. Contohnya, keputusan pembukaan sektor ekonomi sejak Julai 2021, ia merupakan cadangan dibentangkan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) oleh MPN, di mana pada masa itu kabinet pun masih mempertimbangkan isu tersebut.
"Kedua, semasa pandemik, PPN telah membina pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat dan perniagaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 dan Elaun Cari Pekerjaan (SIP) Prihatin.
"Saya juga ingin mengambil contoh dalam isu pembukaan sempadan negara, Muhyiddin selaku Pengerusi MPN telah mencadangkan pembukaan sempadan dikuatkuasakan seawal 1 Mac 2022.
"Namun, kita lihat cadangan MPN dikuatkuasakan lebih sebulan selepas itu. Pendapat MPN tidak semestinya diterima kerajaan, tetapi MPN terbukti telah berperanan baik dalam memberikan cadangan-cadangan konstruktif kepada kerajaan hari ini," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menuntut supaya MPN dimansuhkan setelah didakwa tidak memainkan sebarang peranan dalam membantu kerajaan mendepani impak pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi.
Lebih menarik, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula mencadangkan elaun Pengerusi MPN dipotong di atas kegagalan majlis bebas itu memainkan peranan penting dalam memulihkan semula ekonomi negara, walhal jawatan disandang Muhyiddin itu tidak menerima sebarang imbuhan atau gaji daripada kerajaan.
TOLAK IMBUHAN
Mengulas lanjut, Mohd Rafiq turut menjelaskan kerelaan Muhyiddin menolak sebarang imbuhan, membuktikan keprihatinan Ahli Parlimen Pagoh itu untuk membantu negara meskipun tidak lagi bergelar Perdana Menteri.
Berikutan itu, beliau berpendapat tidak sepatutnya niat murni dan ikhlas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dipertikaikan segelintir pemimpin, lebih-lebih lagi pada saat rakyat sudah muak dengan sikap kebanyakan pemimpin yang gemar mempolitikkan pelbagai perkara dan isu.
"Pada saat genting ini, sepatutnya semua pihak kena menggembleng tenaga untuk mencari mekanisme penyelesaian terbaik membantu menangani kos sara hidup rakyat dan pemulihan ekonomi.
"Sudah tiba masanya kita menghentikan sebarang kenyataan politik tidak berfaedah, sebaliknya tumpukan kepada peranan masing-masing dalam membantu kerajaan mengharungi cabaran memulihkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca