HUJUNG minggu lalu Mat Taici melayani permintaan tiga anak saudara lelaki yang mahu mandi sungai di kampung, awal pagi lagi sudah bangun dan nenek mereka pula membekalkan sarapan untuk mengalas perut. Sedang asyik membuat pelbagai gaya... Klik di sini untuk terus membaca

HUJUNG minggu lalu Mat Taici melayani permintaan tiga anak saudara lelaki yang mahu mandi sungai di kampung, awal pagi lagi sudah bangun dan nenek mereka pula membekalkan sarapan untuk mengalas perut.

Sedang asyik membuat pelbagai gaya renang ala jaguh kampung, tiba-tiba anak buah yang berumur tujuh tahun menjerit marah kepada abangnya yang berusia lapan tahun kerana menarik seluarnya hingga terlondeh. Memang perangai si abang suka bergurau kasar!

Terdengar dialog si adik, abang ni malulah adik, seluar terlondeh sampai nampak tutttt...berdekah Mat Taici ketawa melihat gelagat masing-masing sambil menyuap nasi lemak ke mulut.

Sejujurnya siapa yang tidak berasa malu jika berdepan situasi seumpama itu terutama di khalayak ramai?

Tapi mungkin ada satu situasi di mana insiden ‘londeh-melondeh’ ini dianggap ‘normal’ dan biasa lebih-lebih lagi kalau melibatkan golongan politikus dan tidak lupa juga sesetengah pemimpin di Malaysia.

Demi menegakkan pendapat dan kebenaran masing-masing, ada yang sampai sanggup ‘melondehkan’ antara satu sama lain dengan saling membuka aib.

Apabila berasa seperti sudah terkepung atau terdesak mahu melepaskan diri daripada kesalahan atau pertuduhan misalnya, maka ‘londeh-melondeh’ pun menjadi senjata serangan yang ampuh.

Contohnya Sipolan A berkata, Sipolan B telah songlap duit sampai RM30 juta. Tapi Sipolan B menafikan kerana hakikatnya yang berdepan tuduhan songlap duit berjuta-juta ialah Sipolan A.

Tidak kisah sama ada cerita yang ‘dilondehkan’ itu benar atau sekadar fiksyen, yang penting siapa lebih cepat menyerang sekali gus melemahkan lawan.

Hakikatnya, tiada pihak yang betul-betul boleh ‘claim’ kemenangan hasil daripada perbuatan ‘londeh-melondeh’ tersebut dan yang pasti ia langsung tidak menguntungkan rakyat yang sering menjadi pemerhati setia.

Lebih penting untuk rakyat memikirkan bagaimana dapur perlu terus berasap agar perut terisi, lebih-lebih lagi di zaman segala macam barangan keperluan mengalami peningkatan harga.

Walaupun ada bantuan dihulurkan untuk meringankan beban rakyat namun pastinya ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan seharian.

Bayangkanlah, telur ayam yang dahulunya sumber protein termurah pun kini sudah naik harga. Tetapi kalau mengikut solusi pihak ‘bijak pandai’ kurangkanlah makan telur kalau sudah tahu harga telur ayam mahal. Mudah bukan?!

Dalam hal ini, orang yang sepatutnya menjaga kebajikan rakyat seolah-olah 'melondehkan' maruah rakyat itu sendiri dan tidak menganggap serius cabaran dihadapi mereka.

P/S - Mat Taici lebih suka pakai seluar dengan tali pinggang untuk elakkan daripada terlondeh dan menanggung malu

Klik di sini untuk terus membaca