SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, supaya berhenti mengejar populariti dan publisiti murahan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan, menasihatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, supaya berhenti mengejar populariti dan publisiti murahan.

Wan Saiful berkata, Mohd Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu tidak perlu lagi mencari publisiti murahan kerana bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berkenaan sudah mendapat habuan kerana mengampu pucuk pimpinan tertinggi UMNO.

"Puad tak perlu cari 'glamor' murahan kerana beliau sudah dapat habuan mengampu sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, fokus di situ sajalah," katanya kepada Sinar Premium.

Wan Saiful berkata demikian ketika mengulas dakwaan Mohd Puad yang Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan menamakan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, baru-baru ini.

Mohd Puad juga dipetik sebagai berkata, Muhyiddin menamakan Ahmad Faizal mengisi kedudukan nombor dua itu kerana bersesuaian dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Bersatu.

"Muhyiddin mahu Ahmad Faizal Azumu jadi TPM kerana dia Timbalan Presiden PPBM (Bersatu). Bukan Azmin Ali. Azmin mesti marah. Politik bertambah tidak stabil,” katanya dalam Facebook.

Selain, Mohd Puad juga mendakwa, Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Faysal Wan Ahmad Kamal dan Wan Saiful pula sedang 'bersaing' untuk mengisi jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, yang kini masih dipegang Datuk Zuraida Kamaruddin.

Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata pertemuan itu telah diadakan beberapa hari lalu supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini, dapat dipertimbangkan.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri beberapa hari yang lepas, di mana saya telah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal pelantikan dalam kerajaan, bukan sahaja mengisi kekosongan tetapi termasuk pelantikan-pelantikan baharu.

"Kita tidak minta lebih daripada (perjanjian) itu tetapi hanya soal pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri, serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan-badan berkanun serta peruntukan kerajaan," katanya ketika merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera PN Peringkat Kelantan pada Sabtu lalu.

Klik di sini untuk terus membaca