SHAH ALAM - Penerokaan bukit dan kawasan berisiko seluruh negara perlu dihentikan buat sementara waktu, sehingga kajian secara bebas dilakukan oleh golongan profesional.
Pakar Geologi, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, kerajaan perlu mengambil iktibar beberapa tragedi banjir lumpur dan kepala air yang berlaku sebelum ini hingga menyebabkan ada nyawa yang terkorban serta kerugian harta benda.
Menurutnya, walaupun Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) telah dilakukan, mungkin ada perkara yang terlepas pandang sekiranya pemantauan berterusan tidak dilakukan.
"Sebab itu saya katakan, penerokaan bukit sama ada secara haram atau dilesenkan di kawasan berisiko kena dihentikan sementara waktu. Apa yang saya lihat, mungkin pihak berkaitan hanya melihat peringkat awalan.
"Tetapi setelah dibotakkan dan diteroka tanpa kawalan khususnya di lereng bukit dan tidak uruskan puing-puing kayu yang ditebang dengan baik serta tiada litupan bukit persekitaran tanah dan tiada kawalan air, secara automatik kejadian banjir lumpur mungkin berulang.
"Tambahan pula hujan lebat menyebabkannya tidak terkawal. Perkara inilah yang menjadikan banjir lumpur yang dahsyat dan nampaknya kita tak mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian lepas. Kita harap, satu pendedahan secara bebas daripada golongan profesional untuk meneliti perkara ini agar tidak berulang lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Isnin, hujan lebat selama tiga jam telah menyebabkan berlakunya insiden kepala air serta banjir lumpur merosakkan rumah di 11 kampung di daerah Baling.
Tragedi tersebut turut mengorbankan tiga nyawa apabila jasad wanita hamil dan ibu mentuanya yang dihanyutkan arus kepala air di rumah mereka di Kampung Iboi ditemui dalam keadaan berpelukan kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka runtuh.
Mayat mangsa ketiga pula ditemui pada 11.55 pagi Selasa, di bawah timbunan kayu.
Air keladak Mengulas lanjut, Mohamad Ali berkata, kehadiran air ‘teh tarik’ semasa banjir lumpur antaranya disebabkan keladak atau lumpur yang dibawa oleh air.
Jelasnya, kecepatan atau penambahan lumpur adalah disebabkan penolakan batang kayu yang menolak lumpur tersebut dengan deras dan menjadikan banjir lumpur yang dahsyat.
"Barangkali kita tidak memantau secara berterusan pembangunan atau penarahan bukit-bukit tersebut yang disebabkan oleh penanaman komersial yang meluas tanpa mengambil kira penjagaan alam sekitar.
"Seterusnya ia menyebabkan struktur tanah terjejas dan pasir yang longgar itu dilunturkan dan mudah dibawa oleh air,"katanya.
Kata Mohamad Ali, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sudah melakukan pemantauan tentang bukit-bukit berisiko tinggi tetapi mengenal pasti sahaja kawasan tidak mencukupi.
Ujarnya, JMG perlu memantau dan membuat penilaian misalnya kawasan penampan, litupan permukaan bumi mencukupi atau tidak serta kesesuaian tumbuhan yang ditanam.
"Kita juga kena pastikan akar litupan bumi itu betul-betul dapat menampan dan memegang air atau memegang tanah. Sistem pengairan di lereng bukit dan tanah bukit juga perlu dipastikan mencukupi, sama ada saliran permukaan atau saliran untuk air bawah tanah atau bawah permukaan.
"Itu perlu dilakukan segera. Mana-mana pihak yang tidak mengambil tindakan mencukupi di kawasan lereng dan sekitar, perlu dikenakan denda yang sewajarnya,” jelasnya.
Sementara itu, Felo Penyelidik Utama di Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Joy Jacqueline Pereira berkata, satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi menyiasat punca sebenar kejadian banjir lumpur dan kepala air yang berlaku di Baling, Kedah.
Beliau turut kesal kerana walaupun banyak kejadian banjir lumpur berlaku, namun tiada jawatankuasa yang mengkaji dan berkongsi kajian saintifik dengan semua pihak untuk dinilai dan diambil tindakan.
"Kita perlukan kajian yang menyeluruh daripada pakar dan golongan profesional. Bagi insiden di Baling, kita tidak boleh terus kaitkannya dengan penerokaan bukit tanpa memberikan bukti.
"Malangnya apabila kejadian macam ini berlaku, kita akan heboh buat beberapa ketika tetapi senyap sahaja selepas itu dan tiada pengajaran daripada sesuatu kejadian.
"Sedangkan kita perlukan kajian atau ada jawatankuasa bebas yang kemudiannya berkongsi dengan masyarakat supaya pengajaran itu dapat dikongsi dan kita tahu bagaimana nak elak kejadian sama pada masa depan.
"Dengan cuaca dan perubahan iklim, keadaan akan menjadi lebih ekstrem dan kita akan berdepan lebih banyak kejadian sebegini. Takkan setiap kejadian, tidak ada pengajaran?” soalnya.
Klik di sini untuk terus membaca