SHAH ALAM - Orang ramai mendesak kerajaan supaya melaksanakan penguatkuasaan dan hukuman lebih agresif bagi menyelesaikan masalah penyeludupan minyak masak ke negara jiran.
Penjawat awam, Mohd Amran Che Mood berkata, gara-gara minyak peket banyak diseludup keluar, rakyat menanggung beban kerana terpaksa membeli minyak masak botol dengan harga tinggi.
"Subsidi itu hak rakyat terutama bagi golongan B40 yang sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
"Sekarang kalau ada duit RM100 dalam poket rasa hanya ada RM10 saja. Harga dua botol minyak masak 5 kilogram (kg) dah RM100. Di situ kita lihat nilai duit kita makin kecil jika dibandingkan sebelum ini,” katanya.
Muka depan Sinar Harian pada Rabu mendedahkan mengenai lambakan minyak masak bersubsidi dari Malaysia di jual di selatan Thailand.
Siasatan wartawan Sinar Harian di kedai-kedai sekitar pekan Golok dan Padang Besar, Thailand mendapati minyak masak peket itu dijual serendah 50 baht (RM6) selain penduduk tempatan yang ditemui mengakui sudah lebih 30 tahun menggunakan minyak masak dari Malaysia.
Ekoran itu, Mohd Amran, 45, menggesa hukuman berat dikenakan kepada penyeludup untuk menimbulkan kegentaran supaya tiada yang berani meneruskan perbuatan itu pada masa akan datang.
Pekerja swasta, Asmalaili Awang @ Shaari menegaskan, penguatkuasaan dan kawalan di sempadan perlu diperketatkan bagi mengekang ketirisan itu.
"Bila Sinar Harian dedahkan tentang perkara ini baru kita tahu rupanya bekalan minyak peket banyak tapi diseludup ke Siam.
"Patutlah minyak peket yang dijual di kedai terhad,” ujarnya.
Sementara itu, menurut peniaga dalam talian, Noramira Husna Alim, jika penyeludupan itu tidak ditangani segera, ia akan terus menambahkan derita rakyat.
"Rakyat dah cukup terseksa dengan kenaikan semua bahan makanan jadi jangan biarkan keadaan ini berlarutan sebab kami yang berhak dapat subsidi itu, bukannya penyeludup dan rakyat negara jiran,” tegasnya.
Juruteknik, Muhammad Izzat Zulkipli pula berkata, risikan perlu dilakukan pihak berkuasa untuk mengenal pasti bagaimana ketirisan itu terjadi.
"Dah lama ketirisan berlaku yang sangat-sangat rugikan rakyat dan negara jadi satu langkah lebih tegas perlu dibuat untuk menyekat jenayah ini daripada berlanjutan.
"Kalau perlu pinda akta untuk hukuman, pindalah cepat supaya orang takut untuk menyeludup minyak masak ini,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca