SHAH ALAM - Siasatan lanjut perlu dilaksanakan oleh pihak berwajib bagi mengenal pasti punca berlakunya kejadian banjir di Baling, Kedah khususnya membabitkan aktiviti pembukaan hutan di Gunung Inas.
Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, kenyataan yang hanya menafikan ketiadaan pembalakan aktif di kawasan terbabit masih tidak mencukupi untuk menjelaskan secara menyeluruh faktor kejadian banjir tersebut.
"Mungkin betul tiada aktiviti pembalakan aktif sekarang. Tapi yang penting tentang pembukaan ladang hutan,” katanya.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Selasa memaklumkan Laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, pada Isnin.
Takiyuddin berkata, sebaliknya terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas mulai 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kesan pembangunan ladang hutan yang dilaporkan itu perlu diteliti kerana ia berkemungkinan menyumbang kepada bencana itu.
"Pokok yang hanyut mungkin boleh menjawab persoalan ini. Adakah 5,000 pokok yang ditanam dalam 52 hektar itu ada dalam kalangan kayu yang hanyut?” ujarnya.
Jelas Ahmad, sebagai antara kawasan pernah dijadikan tempat bagi aktiviti pembalakan, tahap pemulihan hutan di kawasan terbabit juga perlu dinilai sama ada ia sudah mampu menahan hakisan hujan lebat.
"Program pemuliharaan kawasan yang berpotensi berlakunya banjir begini perlu disegerakan,” tegas beliau.
Ahmad menambah, kajian juga perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti kawasan berisiko banjir dengan mengambil kira beberapa faktor antaranya perubahan iklim, perubahan landskap, pembangunan dan pembalakan yang berlaku dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Malaysia, Randolph S. Jeremiah berkata, sebarang pembangunan di kawasan tanah tinggi dan bukit-bukau perlu dihadkan dan dijalankan dengan langkah terperinci memandangkan ia kawasan sensitif untuk diterokai.
Katanya, semua pihak perlu meneliti semula polisi serta rancangan pembangunan di kawasan bukit-bukau memandangkan cuaca yang tidak menentu dan frekuensi kejadian banjir lumpur yang semakin meningkat.
Menurutnya, langkah dan syarat yang lebih ketat juga perlu diambil bagi semua pembangunan di kawasan tersebut.
"Secara amnya, kawasan tanah tinggi dan berbukit-bukau merupakan kawasan sensitif dan saya melihat sebarang pembangunan perlulah dihadkan dan dilakukan dengan lebih berhati-hati,” katanya.
Insiden di Baling isyarat waspada teroka hutan
Sementara itu, insiden kepala air dan banjir lumpur di Baling merupakan satu isyarat penting kepada kerajaan negeri Kedah supaya lebih berwaspada dengan keadaan yang tidak stabil akibat penerokaan hutan.
Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, penerokaan hutan akan menyebabkan kawasan hutan yang sebelum ini adalah primer menjadi sekunder.
"Yang mana kita tahu hutan primer lebih tebal dan litupan tumbuhannya itu adalah unik. Ada yang tinggi dan ada yang rendah. Apabila air turun, air akan melalui beberapa fasa sebelum sampai ke bawah.
Kesan langsung daripada hujan lebat itu akan diperlahankan dengan litupan tumbuhan yang tebal.
"Tetapi kalau hutan sekunder seperti tanaman semula, pokok akan ditanam pada jarak yang berbeza, lebih renggang dan kanopi itu tidak berapa wujud. Walaupun ada elemen pokok untuk memperlahankan air, tidak sama kadarnya (seperti hutan primer),” ujarnya.
Kata Nor Shahidah lagi, penerokaan hutan berkemungkinan menjadi antara faktor utama insiden kepala air dan banjir lumpur di kawasan itu.
"Seakan-akan tanah yang terhakis akibat permukaan gondol turun bersama aliran air yang deras dan air sungai yang melimpah menambahkan lagi jumlah larian air di permukaan itu.
"Disebabkan itu kita nampak ia pergi dengan laju, tiba-tiba dan berlumpur. Apabila (berlakunya) macam itu, ia membawa segala pokok-pokok di dalam laluannya,” ujarnya.
Oleh itu kata beliau, aktiviti penerokaan perlu dipantau kerana jika tidak masalah banjir lumpur akan berulang dan membahayakan penduduk berkali-kali pada masa akan datang.
Klik di sini untuk terus membaca