DARIPADA ratusan ribu umat Islam yang tiba di Mekah pada minggu ini untuk menunaikan haji, mungkin tiada seorang pun yang mengalami perjalanan yang lebih sukar daripada Adam Mohammed iaitu seorang jurutera elektrik berusia 53 tahun dari... Klik di sini untuk terus membaca

DARIPADA ratusan ribu umat Islam yang tiba di Mekah pada minggu ini untuk menunaikan haji, mungkin tiada seorang pun yang mengalami perjalanan yang lebih sukar daripada Adam Mohammed iaitu seorang jurutera elektrik berusia 53 tahun dari United Kingdom (UK).

Mohammed yang berketurunan Iraq-Kurdis membuat keputusan pada tahun lalu untuk berjalan kaki ke Arab Saudi yang melibatkan perjalanan sejauh lebih 7,000 kilometer dengan membawanya melalui sembilan buah negara sebelum dia menyeberang dari Jordan ke bandar barat laut negara beraja tersebut, Tabuk.

Perjalanan itu menjadi lebih dramatik apabila lelaki tersebut memulakan perjalanannya sejak 11 bulan lalu, menolak kereta sorong yang mengandungi makanan dan bekalan lain dan dia tidak tahu sama ada akan dapat memasuki masjid-masjid suci di Mekah dan Madinah.

Beliau hanya mengetahui bahawa umat Islam dari luar negara dibenarkan untuk menunaikan haji pada April lalu apabila kerajaan Arab Saudi mengumumkan bahawa satu juta penganut agama itu termasuk 850,000 orang dari luar negara akan dapat mengerjakan ibadat tersebut pada tahun ini.

Sebelum ini, kerajaan beraja tersebut melarang jemaah haji dari luar negara menunaikan haji pada 2020 dan 2021 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan pandemik Covid-19.

Kini Mohammed selamat tiba di Mekah namun berat badannya berkurangan kira-kira 15 kilogram berbanding ketika dia memulakan perjalanan tetapi lelaki tersebut tidak pernah menyesal.

"Saya menangis ketika pertama kali tiba. Ia satu perasaan yang sukar dipercayai," katanya kepada AFP.

"Perjalanan saya meletihkan. Saya berhenti di banyak tempat untuk berehat. Tetapi, saya tertumpu pada satu perkara (iaitu) saya telah berumur 53 tahun, jadi bagaimana jika saya meluangkan masa selama 11 bulan di jalan raya untuk sampai (ke Mekah)? Ia (sebenarnya) boleh dilakukan," tambahnya.

Mohammed berkata, pihak berkuasa Arab Saudi memberikan kebenaran kepada dia, isteri dan dua anak perempuannya yang telah terbang dari UK ke Mekah untuk menyertai haji.

Kebanyakan warga asing lain telah dipilih melalui sistem cabutan bertuah untuk mengerjakan haji.

Umat Islam dari seluruh dunia dapat mengerjakan ibadat haji pada tahun ini. - Foto AFP

Kira-kira 2.5 juta orang mengerjakan haji pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 bermula.

Pada tahun 2020, umat Islam dari luar Arab Saudi disekat untuk mengerjakan haji di Mekah dan menurut AFP, kira-kira 10,000 umat Islam yang kebanyakannya ialah warganegara tersebut dan penduduk asing tetapi telah menetap di negara beraja berkenaan dibenarkan untuk mengerjakan haji pada tahun tersebut.

Bilangannya yang mengerjakan haji kemudian meningkat kepada 60,000 orang pada tahun 2021 tetapi masih terhad kepada rakyat dan warga asing yang tinggal di negara beraja tersebut tetapi telah mendapat vaksin Covid-19 sepenuhnya.

Jemaah haji dari Malaysia dan Singapura dijadualkan bergerak ke Padang Arafah pada Khamis sebelum hari wukuf bermula pada Jumaat ini.

Larangan ke atas jemaah haji di luar negara menyebabkan kekecewaan yang mendalam dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia yang biasanya menabung selama bertahun-tahun untuk mengerjakannya.

Walaupun bilangan umat Islam yang dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini lebih tinggi, masih terdapat beberapa syarat yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi iaitu mereka mestilah berumur di bawah 65 tahun yang telah mendata vaksin sepenuhnya dan boleh mengemukakan keputusan negatif Covid-19 daripada ujian yang diambil dalam masa 72 jam perjalanan.

Seorang jemaah haji Rusia berusia 30 tahun yang memberikan namanya sebagai Halima berkata, dia berkongsi kisahnya dengan rakan-rakan untuk mengumpulkan dana bagi membolehkannya datang untuk mengerjakan haji bersama bapanya.

Dia juga telah melihat Kaabah buat pertama kalinya dalam hidupnya.

"Ia adalah impian saya untuk berada di sini," katanya.

Namun, bagi jemaah Iraq, Ahmed Abdul Hassan Al Fatlawi, cuaca panas adalah perkara terakhir yang dia fikirkan ketika berada di Mekah.

"Saya berumur 60 tahun, jadi adalah perkara biasa jika saya letih secara fizikal kerana cuaca panas, tetapi saya berada dalam keadaan tenang dan itu sahaja yang penting bagi saya,” katanya kepada AFP.

Kemuncak haji adalah perhimpunan di Bukit Arafah, kira-kira 10 kilometer dari Mina, di mana dipercayai bahawa Nabi Muhammad SAW telah menyampaikan khutbah terakhirnya.

Jemaah haji berkumpul di atas bukit setinggi 70 meter dan dataran sekitarnya untuk solat berjam-jam dan membaca kitab suci Al-Quran. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca