SHAH ALAM - Kumpulan pemimpin yang ingin menunaikan ibadah korban diingatkan untuk menggunakan duit sendiri dan bukannya sumber diperoleh daripada dana kerajaan kerana ia mungkin boleh menjadi satu perbuatan sia-sia jika dilaksanakan.
Ketua Pegawai Operasi EZ Qurban, Muhammad Hafeez Firdaus Toharudin berkata, amalan korban merupakan ibadah diri sendiri dan bukannya tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh mana-mana institusi ataupun daripada pihak kerajaan.
Katanya, sama seperti ibadah solat serta ibadah-ibadah khusus lain, korban merupakan perintah Tuhan yang perlu dilakukan oleh individu dengan menggunakan harta miliknya sendiri dan bukan melibatkan sumber umum atau harta orang ramai.
"Jika seseorang pemimpin atau ahli politik yang ingin melaksanakan amalan korban, jangan sesekali menggunakan duit kerajaan (peruntukan sebagai pemimpin) kerana ia adalah hak milik rakyat.
"Sekiranya amalan korban kumpulan pemimpin menggunakan sumber (duit) kerajaan, kemungkinan ia akan hanya menjadi satu perbuatan sia-sia buat dirinya.
"Malah ia mungkin boleh menjurus kepada satu kesalahan kerana menyalah guna kuasa apabila menggunakan wang rakyat bagi menunaikan hasrat peribadi," katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafeez berkata, andai sesebuah institusi menganjurkan atau melaksanakan program korban, ibadah korban itu tetap perlu diniatkan atas nama peribadi oleh individu dalam institusi tersebut.
Jelasnya, pemberian ternakan korban oleh pihak-pihak tertentu khususnya institusi atau mana-mana agensi tidak boleh dianggap sebagai 'ibadah korban', apatah lagi sekiranya ia diberikan oleh pihak kerajaan atau wakil rakyat kepada orang ramai.
Tegasnya, ia hanya boleh dilabelkan sekadar 'program korban' apabila sesebuah penduduk atau masyarakat yang menerima sembelihan ternakan korban tersebut.
"Apabila ternakan korban disembelih oleh orang ramai dan mereka 'meniatkan' sebagai wakil atas nama peribadi si pemberi kerana ternakan itu telah menjadi haknya, maka barulah boleh dianggap sebagai ibadah korban.
"Andai mereka menerima ternakan tersebut atas dasar hadiah untuk pemberian daging korban manakala pemberinya pula bukan atas nama individu, maka ia hanyalah sekadar 'program korban. Tiada mana-mana pihak yang mendapat pahala ibadah korban.
"Maka sewajarnya mana-mana ahli politik, ahli perniagaan atau sesiapun yang ingin membuat ibadah korban serta menyumbang daging korban itu kepada rakyat di kawasannya, dia seharusnya menggunakan duit peribadinya sendiri," katanya.
Pancing undi dengan daging korban
Ditanya apakah hukum sekiranya ahli politik berniat untuk 'memancing undi' dengan pemberian daging korban, Muhammad Hafeez berkata, semua amalan anak Adam adalah bergantung di atas niat masing-masing.
Jelasnya, orang ramai tidak dapat menilai sejauh mana niat seseorang itu kerana ia hanya diketahui oleh empunya badan.
Namun begitu katanya, orang ramai yang menerima daging korban tidak perlu bersalah sangka dengan pemberian daripada barisan kepimpinan atau ahli politik.
"Adapun rakyat di kawasan tersebut yang menerima daging, tidak sama sekali menjadi satu kesalahan bagi mereka untuk menerima daging korban tersebut," katanya.
Sementara itu menjelaskan status amalan korban sekiranya lembu yang mahu dikorbankan itu melalui proses yang salah termasuk perbuatan merasuah pihak berkuasa kerana dibawa masuk secara seludup dari negara jiran, beliau berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati sekiranya ingin melakukan amalan korban.
Menurutnya, mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban perlu mendapatkan haiwan secara sah daripada pemiliknya.
Tegasnya, membeli sesuatu yang diketahui bahawa barangan itu merupakan barangan curi, tidak kira apa tujuannya sekali pun akan tetap dianggap satu kesalahan dan tidak sah.
"Timbul isu bahawa lembu-lembu yang dibawa masuk secara seludup dari negara jiran tidak melalui peraturan yang sah dan sebagainya.
"Sekiranya memang benar diketahui dan diyakini oleh si pembeli, maka perlulah dia mengelakkan daripada membelinya," katanya.
Muhammad Hafeez berkata, amalan korban adalah ibadah yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT, maka ia perlu dibuat sebaik mungkin dan dipastikan 'halal' daripada semua sudut.
Jelasnya, duit yang digunakan untuk membeli ternakan korban perlu dipastikan daripada hasil yang elok, dibeli daripada sumber yang sah, manakala proses pelaksanaan bermula daripada proses penyembelihan sehingga agihan dibuat oleh kumpulan pelaksana yang jujur.
Dalam pada itu katanya, orang ramai yang ingin melakukan ibadah korban dinasihatkan untuk memilih institusi yang mempunyai kredibiliti dan amanah.
Selain itu menurutnya, peserta yang ingin mendaftarkan korban dengan mana-mana institusi atau pertubuhan perlu menyemak dan menyelidik institusi tersebut sebelum mendaftar.
Katanya, semakan boleh dilakukan dengan melihat pendaftaran institusi tersebut, pengiktirafan diterima, tempoh tahun beroperasi serta pengalaman melaksanakannya.
"Pengiktirafan daripada mana-mana jabatan atau agensi kerajaan itu bukanlah tanda ukuran ketaqwaan antara kita dengan Allah, tetapi menghilangkan rasa was-was atau ragu-ragu itu juga satu kefarduan kerana setiap ibadah yang menghilangkan keraguan akan mendatang ketenangan dalam melaksanakan ibadah.
"Kita perlu menyakini bahawa ibadah yang telah kita niatkan. Sepatutnya tiada keraguan apabila telah terjalin akad antara peserta korban dan pelaksana," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca