WAWANCARA Datuk Seri Mohamad Hasan (Tok Mat) oleh Asia Times pada 5 Julai lalu, dengan beraninya menghadapi ‘gajah dalam bilik’ – masa depan UMNO tanpa Najib.
UMNO tanpa Najib bagaikanlah Republikan tanpa Trump. Kerana kedua-dua pemimpin itu mempunyai karisma terhadap penyokong tegar parti mereka.Kedua-dua parti ini enggan menolak mantan pemimpin mereka yang telah atau mungkin disabit bersalah, satu dalam mencuri kekayaan negara dan satu lagi dalam menghasut rusuhan untuk menggulingkan sistem politik negara.
Dalam wawancara itu, Tok Mat telah membuat tiga kenyataan yang pro-Najib. Pertama, Najib menjadi mangsa kepada ‘pendakwaan memilih’. Kedua, Hakim Mohd Nazlan seharusnya menarik diri daripada kes Najib kerana percanggahan kepentingan kerana kerja lama Nazlan di sektor bank. Ketiga, Najib berjaya menarik minat pengundi di pilihan raya negeri di Melaka dan Johor.
Yang menarik ialah tiga kenyataan negatif Tok Mat terhadap Najib.
Pertama, Najib bertanggungjawab atas skandal 1MDB. "Sama ada Najib salah atau betul, rakyat sangat jelas tentang apa yang telah dilakukannya. Orang tahu. Saya tahu. Kita tahu daripada apa yang kita baca.”
Kedua, 1MDB adalah sebab kejatuhan UMNO. "UMNO kalah dalam 2018 bukan kerana dia tidak menjaga rakyat. Satu isu saja: 1MDB. Parti dan kerajaan terlalu toleran. Kita tidak berupaya untuk menjelaskan, tidak berupaya memberikan kebenaran. Rakyat banyak mengetahui, jadi, anda tidak boleh menyimpan dan menyapu segala benda di bawah tikar.”
Ketiga, jika Najib disabit kesalahan, tidak akan berlaku pengampunan sebelum menjalani hukuman penjara. Mantan pemimpin UMNO, Harun Idris dan Mokhtar Hashim meringkuk dalam penjara sebelum diampunkan.
Wawancara ini cukup menyakiti pengikut Najib tetapi niat Tok Mat jelas sekali, 'ingin elakkan kekalahan UMNO sekali lagi kerana 1MDB'. Pengundi yang 'tahu malu' serta pelabur antarabangsa dan dalaman semua takut bahawa Najib akan dibebaskan sebaik saja UMNO menang besar.
Selepas laporan Asia Times disiarkan, Tok Mat mendakwa maksudnya telah 'dipetik di luar konteks'. "Jika saya percaya bahawa Najib tidak dapat pengadilan yang adil, bagaimana saya boleh katakan Najib seharusnya masuk penjara?”
Pewawancara Asia Times, Nicholas Kochan, menjawab dengan berkongsikan tiga klip audio wawancara sepanjang 75 minit di Twitter (@KochanNicholas). Sesiapa yang berminat boleh mendengar bahagian yang dipertikaikan muncul selepas minit ke-23 saat ke-40 dalam klip kedua.
Bagaikan Republikan tanpa Trump, UMNO tanpa Najib adalah masa depan yang UMNO mesti berani mengejar kalau ia ingin memenangi keyakinan pengundi medan tengah dan pasaran.
Kejujuran dan keberanian Tok Mat harus disanjungi. UMNO yang enggan membersihkan diri akan menjahanamkan Malaysia sekali lagi.
Kalau suara Tok Mat mewakili UMNO di WTC yang bukan kluster mahkamah, sudah sampai masanya UMNO di Putrajaya terutamanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab soalan yang sama: Apakah beliau menyokong pengampunan Najib jika UMNO menang PRU15?
*Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca