SHAH ALAM - Tuduhan yang dilemparkan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap parti itu disifatkan sudah lapuk.
Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, ini kerana tuduhan tersebut juga pernah dibangkitkan oleh bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.
"Saya lihat dakwaan Tajuddin adalah perkara yang lapuk sebab apa sahaja yang dibangkitkan tempoh hari adalah perkara yang berulang. Perkara ini telah dibawa oleh mantan Setiausaha Agung BN.
"Namun, pada ketika Setiausaha Agung BN bangkitkan, selepas itu, kita memenangi banyak Pilihan Raya Negeri dan juga Pilihan Raya Kecil.
"Jadi, apa asas yang mereka bawa, semuanya tidak menjadi untuk memecahbelahkan UMNO. Disebabkan ini juga, apa yang saya nampak adalah UMNO terus fokus untuk kita bawa apa sahaja isu rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk 'UMNO Vs Pembelot' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.
Pada 27 Jun lepas, Tajuddin dalam satu sesi sidang media membongkar pelbagai rahsia dalaman parti akibat beliau digugurkan daripada menjadi MKT UMNO.
Antara perkara dibongkar Tajuddin adalah dakwaan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan kedudukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tawaran Ahli Parlimen Bera itu menjadi ‘poster boy’ sebagai umpan menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan gerakan mengumpul tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, tindakan yang dilakukan Tajuddin merupakan perkara biasa yang sering dilakukan apabila tidak lagi mempunyai sebarang jawatan.
"Kenapa tidak dibangkitkan dalam mesyuarat? Kenapa dibuat selepas sudah tidak ada jawatan? Pada pandangan saya, semasa itu mungkin dia tengah kecewa, emosi,” jelasnya.
Tambah beliau, seseorang yang telah membocorkan rahsia dalaman parti adalah dianggap sebagai pembelot.
"Banyak perkara yang sepatutnya menjadi kerahsiaan parti, kita kena sama-sama jaga. Waima, siapapun kita, apa jawatan kita ada, mereka dipertanggungjawabkan untuk jaga rahsia kerana telah bersumpah.
"Tetapi, saya tidak boleh katakan Tajuddin pembelot. Saya percaya akan ada proses dalam UMNO untuk lihat dakwaan beliau,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca