SHAH ALAM - Permintaan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan sebagai satu perbuatan mengarut.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tindakan yang dilakukan bekas Perdana Menteri itu adalah tidak sensitif terhadap keadaan semasa.
"Apa yang Muhyiddin nyatakan ini, ia membuatkan kita semua terkejut. Dengan bangganya dia meminta ketika rakyat susah ini. Dia mahu jawatan TPM, menteri dan pengerusi GLC baru.
"Ini adalah permintaan yang mengarut. Permintaan yang akan membuatkan rakyat membenci orang politik. Sekiranya permintaan ini diambil peduli, rakyat akan benci orang politik.
"Dalam masa mereka tengah susah, nak memulakan hidup dalam endemik ini, mereka dihidangkan dengan satu ketamakan orang politik di depan mata. Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak fikir masalah rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk 'UMNO Vs Pembelot' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Khamis.
Pada 2 Julai, Muhyiddin berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengutarakan beberapa perkara penting termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri, menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, pertemuan itu diadakan supaya perjanjian PN dengan Perdana Menteri sebelum ini dapat dipertimbangkan.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan turut mempersoalkan apakah tindakan yang akan dilakukan apabila jawatan tersebut diberikan dengan tempoh hanya berbaki 10 bulan.
"Apa yang boleh buat selain daripada menikmati kemewahan duit rakyat. Ini perkara mengarut. Saya rasa perkara ini patutnya tidak timbul dalam politik.
"Kita kena faham bahawa kita lahir dari rakyat. Fikirkan tentang rakyat. Jangan fikir pada kelompok sendiri sahaja. Bersatu buat ini adalah amat jijik bagi orang politik kerana tidak langsung memikirkan rakyat ketika ini,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca