SAYA ada terbaca laporan berita yang mengatakan pada hari raya korban tahun ini, lembu-lembu gemuk tidak lagi mendapat permintaan atau dengan bahasa mudahnya tidak laku. Orang ramai dikatakan tidak berminat untuk membeli lembu berkenaan... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA ada terbaca laporan berita yang mengatakan pada hari raya korban tahun ini, lembu-lembu gemuk tidak lagi mendapat permintaan atau dengan bahasa mudahnya tidak laku.

Orang ramai dikatakan tidak berminat untuk membeli lembu berkenaan kerana harganya bermula dari RM12,000 hingga mencecah RM20,000.

Untuk melakukan ibadah korban, lembu-lembu 'biasa' yang dijual di pasaran ketika ini sekitar RM5,000 hingga RM7,000 dan lembu kurus yang sebelum ini kurang menarik perhatian kembali mendapat permintaan kerana harganya yang agak berpatutan.

Keadaan itu berlaku antaranya disebabkan orang ramai mula berhati-hati dalam berbelanja kerana beban kos sara hidup yang dihadapi ketika ini.

Kira-kira dua bulan lalu ketika berlakunya krisis bekalan ayam, saya perasan ayam goreng kegemaran rakyat Malaysia sudah mengalami perubahan ketara apabila tiada lagi ketulan ayam-ayam gemuk.

Dalam set hidangan sembilan ketul ayam semuanya kurus-kurus belaka.

Saya sebenarnya lebih menggemari ayam yang kurus dan jika sebelum berlaku krisis ayam, saya akan sentiasa memesannya kerana tidak mampu menghabiskan ayam gemuk walaupun hanya seketul.

Cumanya bagi sesetengah pelanggan, mereka kecewa kerana sudah terbiasa membeli ayam goreng yang bersaiz besar.

Ada lagi beberapa makanan lain yang saya perasan terkesan dengan kenaikan harga barang. Penjual tidak menaikkan harga tetapi mengecilkan saiznya.

Misalnya nasi dagang yang menjadi menu sarapan pagi kini kuantiti nasinya berkurangan dan saiz ikan yang semakin mengecil.

Begitu juga dengan roti canai, ada restoran telah menaikkan harga dan ada juga yang mengekalkan harga tetapi mengecilkan saiz roti canai yang dijual.

Tidak terkecuali kucing-kucing jalanan yang selalu datang membuang hajat di halaman rumah saya pun majoritinya kurus belaka.

Ia disebabkan tiada lagi dermawan yang sanggup membeli makanan kucing untuk dijamu setiap hari.

Ada juga jiran-jiran yang mempunyai haiwan peliharaan mengadu berlaku kenaikan harga melibatkan produk-produk yang berkaitan kucing.

Bukan itu sahaja, yuran bulanan untuk kelas seni mempertahankan diri juga dilaporkan berlaku kenaikan katanya kesan daripada sewaan ruang berlatih yang meningkat.

Selain itu, saya juga ada mendengar keluhan daripada rakan-rakan yang merungut kualiti kenderaan yang dihasilkan ketika ini berbeza dengan model-model terdahulu walaupun beza hanya beberapa tahun.

Material yang digunakan jelas menampakkan syarikat pengeluar kenderaan turut melakukan penjimatan bagi memastikan kelangsungan perniagaan.

Banyak lagi sebenarnya perubahan yang berlaku di sekeliling kita untuk mengimbangi kenaikan harga barang ketika ini.

Boleh dikatakan daripada sekecil-kecil peniaga hinggalah kepada syarikat-syarikat besar sudah melakukan transformasi penjimatan kesan keadaan semasa.

Sebagai pengguna apa langkah kita untuk terus kekal dalam keadaan serba mencabar ini?

Maka, sudah semestinya kita juga perlu mengambil langkah bersesuaian dengan keadaan semasa kerana jika tidak, kita akan menghadapi banyak kesulitan terutamanya dari sudut kewangan.

Buat sementara waktu ini, mana-mana penjimatan yang boleh dilakukan, maka lakukan dengan segera.

Gaya hidup yang sebelum ini banyak melakukan pembaziran boleh dielakkan dan amalkan tip berjimat-cermat.

Tangguhkan sementara pembelian barang-barang yang bukan menjadi keutamaan dan bersederhana dalam melakukan hobi-hobi yang memerlukan kos yang tinggi.

Dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang dinaikkan lagi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kepada 2.25 peratus, kebanyakan peminjam kena bersedia perbelanjaan isi rumah akan meningkat lagi pada bulan-bulan akan datang.

Tidak dapat dinafikan kenaikan harga barang memberi kesan kepada semua perkara dan isu ini bukan sahaja dihadapi Malaysia tetapi berlaku di seluruh dunia.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca