TIDAK semua negara yang telah merdeka mengecapi kelangsungan yang aman dan makmur di pentas dunia.
Sejarah pelbagai negara menunjukkan pelbagai pengalaman. Ada yang merdeka dengan saiznya dikecilkan atau dibahagi kepada lebih daripada satu negara.
Ada yang berseteru dengan jiran sehingga berlaku peperangan sempadan. Ada yang diserang kuasa luar. Ada yang kerajaannya dijatuhkan pengaruh luar.
Ada yang menderitai perang saudara, genosid, penghapusan etnik, rampasan kuasa dan sebagainya – yang lazimnya melibatkan pengaruh luar.
Sesetengah negara mencapai kemerdekaan dalam keadaan kekurangan barisan kepimpinan anak watan yang mampu menguruskan kemerdekaannya dengan sebaik-baiknya.
Ini kerana penjajah sengaja membiarkan rakyat negara tersebut tidak berpendidikan. Kerana, ketika menjajah, penjajah tidak mahu penduduknya cerdik dan bangkit menentangnya.
Penjajah juga mahu agar, walaupun terpaksa melihat negara tersebut merdeka tetapi dengan kekurangan kepimpinan yang berkemampuan, maka diharapkan bekas jajahannya itu akan terus bergantung kepadanya.
Ada negara merdeka menganggotai badan yang keanggotaannya terdiri daripada negara-negara bekas jajahan kuasa tertentu, contohnya Komanwel dan Francophonie.
Pada masa Perang Dingin, banyak negara yang baru merdeka terpaksa menyebelahi sama ada blok Barat atau Timur.
Bagi Malaysia, sejak merdeka, objektif-objektif dasar luar adalah jelas iaitu menjaga kepentingan politik, keselamatan, ekonomi dan identitinya.
Walaupun Malaysia menganggotai Komanwel tetapi kita berupaya mengelakkan masalah-masalah besar yang dihadapi banyak negara yang merdeka sezaman dengan kita, malah menjadi lebih maju daripada mereka.
Kita menangani isu-isu persempadanan dengan negara-negara jiran secara diplomatik.
Bagi menjamin keselamatan serantau, kita memainkan peranan instrumental dalam penubuhan, dan selanjutnya, perjalanan ASEAN.
Kita berpendirian berkecuali dan menganggotai Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan tegak sebagai negara majoriti umat Islam yang bebas dengan menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kita bebas bersuara. Kita lantang menyuarakan isu-isu Palestin, Afghanistan, Myanmar dan sebagainya. Dalam konflik Ukraine, kita punya pendirian sendiri.
Kita juga bebas menganggotai dan berperanan dalam pelbagai badan antarabangsa tentang keselamatan, perdagangan, pendidikan, kesihatan, alam sekitar, hak asasi manusia dan sebagainya.
Di platform antarabangsa, kita mempunyai pendirian yang berprinsip, menurut undang-undang antarabangsa, bebas dan berkecuali, termasuk apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa besar.
Pada masa yang sama, kita memperjuangkan reformasi PBB dan arkitektur-arkitektur antarabangsa bidang-bidang kewangan, perdagangan, ekonomi, keselamatan dan lain-lain. Supaya menjadi lebih inklusif, bebas dan adil.
Pokoknya, dalam menghadapi pelbagai cabaran antarabangsa, kita buat yang terbaik sebagai sebuah negara merdeka.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca