SHAH ALAM - Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkemungkinan tidak tahu akan kewujudan perjanjian di antara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kerana beliau belum mendapat kepercayaan penuh daripada Perdana Menteri.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan situasi berkenaan berlaku kerana kejujuran Shahril yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri masih boleh dipersoalkan.
"Nampaknya ada perkara yang Perdana Menteri belum cukup percaya untuk kongsi dengan Shahril.
"Yang menjadi saksi kepada 'coalition agreement' (perjanjian pembentukan kerajaan campuran), di mana di sebelah Perdana Menteri diwakili oleh Tan Sri Anuar Musa.
"'Coalition agreement' adalah satu 'best practice' yang diukir Ismail Sabri.
"Memang menjadi kebiasaan di negara yang demokrasinya lebih matang untuk mempunyai perjanjian bertulis 'coalition agreement' jika mahu bentuk gabungan. Bab ini kita mesti puji,” katanya kepada Sinar Premium.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau bertemu Ismail Sabri untuk membincangkan mengenai pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri yang menurutnya berkait dengan perjanjian PN dengan Perdana Menteri.
Beliau turut membangkitkan beberapa isu penting termasuk pelantikan kerajaan, bukan sahaja untuk mengisi kekosongan jawatan sedia ada, malah mahu pelantikan baharu itu dipertimbangkan berdasarkan persetujuan PN sebelum ini.
Shahril kemudian mendakwa, Muhyiddin sepatutnya berjumpa dengan Ismail Sabri untuk berbincang mengenai cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, bukannya memilih untuk menghebahkan kepada umum mengenai cadangan itu dalam satu majlis rasmi parti berkenaan di Kelantan baru-baru ini.
Katanya, tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah boleh menimbulkan tanda tanya dan spekulasi dalam kalangan rakyat termasuk pihak tertentu yang akan mengambil kesempatan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, UMNO telah menghantar hantar surat yang mengandungi nama-nama yang dicalonkan untuk pelbagai jawatan.
Ketika itu katanya, UMNO tidak digelar sebagai gila kuasa kerana itu adalah perkara biasa dalam pembentukan kerajaan campuran.
"Sebab itu, apabila UMNO menghantar senarai nama semasa Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau memenuhi janji untuk melantik mereka ke jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Pengerusi dan Ahli Lembaga Agensi. Ini lambang akhlak dan integriti.
"Hari ini, berpuluh orang lantikan daripada PN ditukar kepada UMNO walaupun 'coalition agreement' menggariskan sebaliknya.
"Ini bukan isu jawatan tetapi soal akhlak dan integriti. Kita mahu pemimpin beramanah dan berintegriti atau tidak?” soalnya.
Klik di sini untuk terus membaca