PARA pekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) meminta pampasan dan kenaikan elaun ekoran tertekan akibat kenaikan kos sara hidup disebabkan oleh peningkatan harga barangan serta makanan sejak bulan April lalu kesan daripada pencerobohan... Klik di sini untuk terus membaca

PARA pekerja di Emiriah Arab Bersatu (UAE) meminta pampasan dan kenaikan elaun ekoran tertekan akibat kenaikan kos sara hidup disebabkan oleh peningkatan harga barangan serta makanan sejak bulan April lalu kesan daripada pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine.

Peruncit-peruncit utama di UAE memberitahu akhbar Khaleej Times baru-baru ini bahawa kos pengangkutan telah meningkat dan merupakan penyumbang utama kepada kenaikan harga di dalam dan di luar negara berkenaan.

Bagaimanapun, para peruncit itu memberikan jaminan bahawa mereka cuba meminimumkan kesan kenaikan harga dan cuba untuk tidak membebankan para pengguna akibat perang Ukraine yang berlaku pada 24 Februari lalu.

Lebih memburukkan keadaan ialah UAE telah menaikkan harga minyak selama dua bulan berturut-turut iaitu pada bulan Jun dan Julai sehingga mencecah 4.63 dirham seliter (RM5.58) untuk petrol Super 98 kerana kenaikan harga minyak mentah global.

Sehubungan itu, untuk mengekalkan khidmat para pekerja berbakat supaya tidak berhenti, sesetengah syarikat di UAE sedang mengkaji kenaikan gaji pertengahan tahun dan elaun.

Ini termasuk elaun bahan api kerana harga petrol telah melonjak hampir 75 peratus sejak Januari 2022.

Walaupun UAE pengeksport minyak tetapi harga petrol masih tinggi di negara itu. - Foto AFP

Mayank Patel iaitu seorang pengurus yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perniagaan firma Adecco Middle East di UAE dilaporkan berkata, peningkatan inflasi memberi kesan besar kepada kualiti hidup pekerja menyebabkan pihak organisasi sedang mencari cara untuk menangani krisis tersebut dalam pelbagai cara.

"Terdapat peningkatan dalam permintaan pekerja berkaitan pampasan dan elaun perjalanan berikutan kenaikan harga minyak.

"Sesetengah syarikat menaikkan elaun pekerja, manakala yang lain mengkaji kenaikan gaji penggal pertengahan.

"Terdapat juga beberapa elaun khas diberikan kepada para pekerja sehingga keadaan menjadi bertambah baik,” kata Patel seperti dilaporkan Khaleej Times.

Bagi mengekalkan pekerja-pekerja berbakat, Patel menambah bahawa secara puratanya, terdapat syarikat-syarikat sedang mempertimbangkan untuk menaikkan gaji pekerja sebanyak tujuh hingga 10 peratus dan kenaikan elaun minyak sebanyak 30 hingga 35 peratus.

Berikutan kenaikan kos hidup itu, sebanyak 68 peratus organisasi di negara berkenaan menjalankan semakan gaji tahunan, menurut sebuah syarikat perkhidmatan profesional, Aon.

Ia telah meninjau sebanyak 50 syarikat di semua industri di negara itu dalam tempoh dua minggu pertama dalam bulan Jun berhubung kenaikan gaji.

Antara syarikat yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu termasuk Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi, Pasaran Global Abu Dhabi, DP World, Beeah Group, Mubadala, Mondelez, Microsoft dan Airbus.

Dua sebab utama yang diberikan oleh pihak syarikat untuk menjalankan semakan gaji itu adalah untuk mengekalkan landskap kompetitif dan pengekalan pekerja.

Sebanyak lima belas peratus firma berkata, kenaikan gaji adalah perlu memandangkan gaji berada di bawah kadar pasaran manakala 23 peratus lagi menyatakan kenaikan adalah penting supaya ia seiring dengan peningkatan inflasi.

Kenaikan kos hidup itu adalah juga berpunca daripada kenaikan harga harga barangan yang meningkat antara lima hingga 10 peratus dalam tempoh beberapa bulan lalu disebabkan oleh kenaikan dalam kos pengangkutan ekoran perang di Ukraine.

Menurut Dr Dhananjay Datar iaitu Pengerusi dan Pengarah Urusan Al Adil Trading, kos pengangkutan dari India ke negara berkenaan telah meningkat daripada AS$50 (RM221.30) setiap kontena kepada AS$1,100 (RM4,868).

Tambahnya, tambang pengangkutan laluan Eropah dan AS juga agak tinggi dan melonjak naik daripada AS$2,500 hingga AS$3,000 (RM11,065 hingga RM13,278) setiap kontena kepada AS$9,000 hingga AS$10,000 (RM39,834 hingga RM44,260).

Protes bagi meminta kenaikan gaji juga berlaku di UAE.

Pada Mei lalu, para pekerja penghantaran makanan telah bertindak melancarkan mogok bagi mendesak gaji yang lebih baik.

Ia melibatkan dua buah syarikat yang berbeza.

Ada pekerja itu yang menggunakan media sosial untuk meminta kadar pendapatan lebih baik, pemindahan gaji tepat pada masanya dan pampasan untuk tempahan makanan yang dibatalkan.

Salah sebuah syarikat penghantaran itu mengakui ia tidak pernah mengubah struktur gajinya sejak enam bulan lalu dengan pendapatan kasar bulanan pekerjanya secara purata adalah sekitar 3,500 dirham (RM4,217).

Sebuah lagi syarikat penghantaran itu didakwa pekerjanya mengurangkan jumlah bayaran bagi setiap penghantaran, namun syarikat itu dengan pantas menarik balik pelan pemotongan gaji pekerjanya dan menyatakan aduan tersebut akan disiasat.

Mogok itu menunjukkan inflasi telah menambahkan lagi tekanan ekonomi dalam kalangan rakyatnya di UAE yang merupakan negara pengeksport minyak. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca