TINGGAL hampir 135 hari menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar, peminat tegar bola sepak khususnya dari benua Eropah bimbangkan cuaca panas yang mungkin mencecah suhu 49 darjah Celsius. Namun, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa... Klik di sini untuk terus membaca

TINGGAL hampir 135 hari menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar, peminat tegar bola sepak khususnya dari benua Eropah bimbangkan cuaca panas yang mungkin mencecah suhu 49 darjah Celsius.

Namun, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) punya agenda lain yang lebih penting untuk difikirkan bagi memeriahkan Piala Dunia 2022.

Selepas berjaya menyelamatkan Piala Dunia 2018 di Rusia dengan memperkenal sistem ilmu kejuruteraan canggih Video Assistant Referee (VAR), FIFA maju selangkah lagi demi mengelak kontroversi seperti yang tercetus pada perlawanan akhir Piala Dunia Dunia 1966 di Stadium Wembley pada tanggal 30 Julai 1966.

Kontroversi tersebut berpanjangan sehingga sekarang. Demi mengelakkan Piala Dunia 2022 yang bermula pada 21 November ini dicemari debu kontroversi, FIFA memperkenal bola digital menggunakan teknologi ofsaid separuh automatik atau semi-automated offside technology (SAOT).

Penulis berpendapat SAOT satu kejayaan luar biasa buat FIFA sekalipun keberkesanannya belum terbukti lagi.

Penulis mendapati SAOT menggunakan minimum 12 kamera ‘penjejakan’ (tracking) khusus dipasang pada bawah bumbung stadium bagi menjejak bola dan sehingga mampu mengenal pasti 29 titik data setiap pemain termasuk semua pergerakan anggota badan pemain seperti pergerakan tangan dan kaki.

Data diambil 50 kali dalam tempoh sesaat dan mengira tepat kedudukan pemain dan bola di padang.

SAOT mampu membuat keputusan tepat secara automatik sekiranya berlaku ofsaid. Cip penderia ditanam dalam bola mampu menghantar data berbentuk cahaya sebanyak 500 kali dalam tempoh kurang sesaat membolehkan pengesanan lebih tepat titik kedudukan ofsaid. Inilah kejayaan sistem ‘Sport Internet of Things’ (SIoT).

Penulis percaya kecerdasan buatan (AI) mampu menghasilkan data tepat penjejakan dan kedudukan geometrik anggota badan pemain dan bola secara automatik dan dipaparkan keputusan pada ‘dashboard’. Persoalannya sekarang berapa cepatkah ofsaid boleh dikesan?

Teknologi SAOT dikuasakan AI bertujuan menyelesaikan panggilan ofsaid yang sering dipertikaikan dengan lebih pantas iaitu kurang daripada setengah saat, tepat dan ‘sifar kesilapan’ (zero mistake).

Untuk rekod, sistem VAR mengambil masa lebih 60 saat sebelum pengadil membuat keputusan ofsaid.

Penulis juga selalu menekankan kepentingan matematik dalam kehidupan manusia.

Dua pakar matematik dan fizik daripada Belgium University, Profesor Werner Helsen dan Profesor Matthew Weston telah merumuskan penganalisaan ketepatan penilaian ofsaid penolong pengadil pada Piala Dunia FIFA 2002 Seoul, Korea Selatan yang bergantung kepada perbandingan hipotesis ralat optikal dan pandangan persepsi, telah menyebabkan banyak kesilapan ketika menilai ofsaid.

Dua pakar matematik itu membuktikan 337 ofsaid berlaku melibatkan 64 perlawanan. Dilaporkan berlaku ralat (kesilapan) sebanyak 26.2 peratus dan setiap 15 minit perlawanan telah berlaku kesilapan anggaran sebanyak 38.5 peratus.

Daripada jumlah tersebut, ralat mengangkat bendera berlaku sebanyak 86.6 peratus berbanding ralat tidak angkat bendera 13.4 peratus.

Pada masa yang sama, hipotesis ralat optikal tidak menunjukkan perbezaan signifikan atau keputusan seimbang antara betul dan salah.

Justeru, bagi mengurangkan kesilapan biasa dalam menilai ofsaid, perlu ada cara alternatif untuk dipertimbangkan untuk membantu penjaga garisan atau pembantu pengadil menangani lebih baik jika berlaku ofsaid.

Sebenarnya Surah An-Nuur ayat [24:35] telah membuktikan kewujudan SAOT.

Segala-galanya bermula dengan kejayaan pakar penemu cahaya optik, Abu Ali Hasan Ibn AI-Haitham (965-1040 Masehi).

Dalam teorinya, beliau menyatakan setiap titik pada kawasan yang disinari cahaya akan mengeluarkan sinar cahaya ke segala arah.

Bagaimanapun, hanya satu sinar daripada setiap titik yang masuk ke mata secara tegak lurus, dapat dilihat.

Kesimpulannya, teknologi kejuruteraan berevolusi dengan cepat. Inovasi ialah resipi sesuatu kejayaan.

Dalam hal ini, penulis tabik kepada FIFA yang sering memikirkan cara untuk memastikan sesuatu perlawanan penting khususnya Piala Dunia, tidak dicemari kontroversi.

* Profesor Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre

Klik di sini untuk terus membaca