SHAH ALAM - Golongan pekerja dan peniaga mula tertekan apabila perbelanjaan harian bertambah berikutan kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar bandar raya ini mendapati, orang ramai mengakui perbelanjaan bulanan meningkat daripada RM250 hingga RM350 bulan ini.
Rata-rata pengguna mendakwa, banyak barang dan perkhidmatan mengalami kenaikan tanpa disedari kerana sebahagiannya tidak meletakkan notis atau pemakluman.
Pesara tentera, Taufik Jantan, 60, berkata, golongan berkeluarga antara yang paling terjejas apatah lagi dengan pendapatan mereka yang tidak menentu.
"Saya bekerja sendiri dan membawa bas sekolah dan kos perbelanjaan keluarga bagi bulan ini meningkat daripada RM600 kepada RM800 bulan ini.
"Itu tidak termasuk perbelanjaan lain dan saya ada dua anak masih belajar di peringkat ijazah yang memerlukan perbelanjaan tambahan sekitar RM200 seorang,” katanya kepada Sinar Harian.
Seorang peniaga, Rosmaniah Burkasa, 48, berkata, perbelanjaan dapurnya meningkat sekitar RM200 hingga RM250 sebulan dan sudah bermula sejak awal tahun ini.
"Duit belanja lima anak saya di Surabaya, Indonesia perlu ditambah dan perbelanjaan suami yang sedang sakit di sini juga meningkat tetapi pendapatan sangat terhad.
"Pendapatan dengan berniaga di tepi jalan ini agak kecil dan saya tidak menaikkan harga jualan goreng pisang serta kuih tetapi hanya kurangkan kuantiti.
"Dahulu, saya jual goreng pisang, empat keping RM1 tetapi sekarang tiga keping RM1 begitu juga dengan keropok dan kuih lain,” katanya ditemui di Seksyen 7 di sini.
Seorang pekerja swasta, Mohd Azmir Arif, 47, berkata, dia tertekan kerana perlu meneruskan hidup dengan pendapatan bersih kira-kira RM3,500 dan ia tidak mencukupi.
"Komitmen bulanan saya adalah bayaran pinjaman, sewa rumah, insurans dan wang untuk ibu bapa yang semuanya sekitar RM2,200 sebulan.
"Dalam keadaan gaji semasa ini, saya juga terasa terhadap kenaikan harga barangan dan dianggarkan pertambahan belanja bulanan saya bertambah RM300,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca