AKHIRNYA awal bulan sudah tiba, poket pun agak tebal dan memandangkan umat Islam akan menyambut Aidiladha Ahad ini, Mat Taici pun pergi ke pasar raya di depan rumah untuk membeli barangan masak dan keperluan.
Walaupun sedia maklum harga barang sudah naik, baru kali ini Mat Taici sendiri ‘turun padang’ untuk membeli.
Mata sudah sakit melihat harga yang melambung tinggi itu apatah lagi hati ini. Namun, apakah daya seorang rakyat biasa seperti Mat Taici.
Bayangkan minyak botol 5kg jenama SM yang dulu harganya kurang dari RM30 kini naik kepada RM42.70 iaitu 44 peratus kenaikan.
Tidak boleh jadi ini, Mat Taici mengeluh perlahan. Nasib baik di rumah ada ‘Air Fryer’ dan selepas ini semua masakan akan dimasak di situ termasuk nasi lemak atau rendang untuk Aidiladha. Biarlah kurang menjadi asalkan jimat minyak.
Selepas sakit mata, sakit hati melihat hampir semua harga barang naik di pasar raya, Mat Taici pun pergi ke restoran untuk santapan malam dan memesan makanan yang biasa dimakan setiap kali ke restoran tersebut.
Ternyata, menu biasa yang dipesan juga sudah naik harga sebanyak RM10 dan itu belum termasuk cukai perkhidmatan dan sebagainya.
Mat Taici terfikir sejenak. Apa yang patut masyarakat biasa seperti Mat Taici ini lakukan ketika harga barang naik dan inflasi berlaku di seluruh negara. Sementara berfikir bagai nak rak, Mat Taici pun menonton berita jam 8 malam.
Seperti tahu akan dilema rakyat, berita yang dipaparkan adalah tentang kenaikan harga siling telur ayam yang mana sebuah pasar raya menjual telur gred AA pada harga antara RM14, manakala gred A RM13 ke atas, B RM12.50 dan C RM11 ke atas.
Itu tidak mengejutkan Mat Taici. Apa yang lebih mengejutkan adalah jawapan seorang pengarah daripada kementerian yang menjaga hak pengguna.
"Kalau boleh, kita sebagai pengguna kalau dah tahu kenaikan harga telur itu tinggi, kita kurangkan makan telur. Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tidak ada masalah, itu adalah cara gaya hidup kita”.
Mat Taici terkelu dan jawapan itu terngiang-ngiang di dalam kepala sehingga hari ini. Mat Taici tertanya-tanya di manakah letak logiknya dengan mengurangkan makan telur itu dapat membantu rakyat?
Dahulu, apabila harga ayam dan daging mahal, rakyat disuruh untuk jangan makan makanan tersebut. Sekarang ini, jika rakyat diminta untuk mengurangkan makan telur, apa yang rakyat harus makan sedangkan telur adalah makanan dan sumber protein paling murah untuk warga marhaen?
Tambahan pula, telur juga merupakan bahan penting dalam masakan atau makanan. Oleh itu, sekiranya harga telur naik, ia akan memberi kesan kepada semua makanan.
Bagi golongan yang kurang berkemampuan, makanan harian mereka beralaskan telur dan nasi. Kadang kala, satu biji telur itu dibahagi tiga untuk anak-anak atau buat makan di kemudian hari.
Bagi pelajar pula, nasi bujang yang terdiri daripada telur, nasi dan sambal belacan juga merupakan makanan harian bagi mereka. Jadi bagaimana nasib mereka jika harga telur meningkat dan mereka harus mengurangkan satu-satunya makanan yang mereka mampu?
Bagi Mat Taici, kenyataan pengarah itu tidak menjaga sensitiviti masyarakat yang memang susah sekarang ini dengan kenaikan harga barang. Mungkin orang atasan lupa hendak memandang ke bawah kerana jika mereka berbuat demikian, mereka tidak akan memberi jawapan yang kurang bijak.
Sekiranya kos hidup makin mahal, adakah kita juga kena kurangkan hidup?
Pss: Ayam kena kurang, ikan kena kurang, habis kita mahu makan apa? Rasuah?...jangan sekali.
Klik di sini untuk terus membaca