SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) telah bersedia sekiranya Parlimen dibubarkan dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat.
Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan berkata, ini kerana PH telah mengambil pengajaran dan iktibar terhadap kejatuhan parti gabungan itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
"Johor adalah sejarah dan pengajaran yang besar. Kalau tidak ada Johor, mungkin kami akan kalah PRU15. Tetapi pengajaran di Johor itu, kami tidak takut langsung nak adakan PRU15 walaupun esok.
"Kerana apa? kerana kami sudah ada pengajaran. PRN Melaka dan Johor jadi iktibar dan pengajar untuk kami hadapi PRU15,” katanya dalam Wacana Sinar edisi ke-355 yang bertajuk Pemimpin Melayu Rakus yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut hadir sebagai panelis adalah Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor dan Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Mengulas lanjut, Hazmi turut menyatakan bahawa pemimpin pihak pembangkang akan bersama bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
"PH akan terus bekerja. Pimpinan akan pastikan pembangkang bersatu kerana kita telah ada dua pengajaran iaitu di Melaka dan Johor. Kalau pemimpin yang bijak akan ambil pengajaran.
"Maka, Insya-ALLAH PRU15 ini, kalau kita ambil pengajaran, PH akan kembali semula. PH akan terus bekerja, menyedarkan rakyat siapakah UMNO dan siapa pemimpin yang sepatutnya diangkat pada PRU15,” ujarnya.
Namun begitu, Hazmi tidak bersetuju untuk PRU15 dilakukan dalam tempoh terdekat berikutan masalah yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.
"Hari ini, disaat rakyat tengah susah dengan kenaikan harga barang, baru nak hidup lepas pandemik, UMNO pula sibuk kuasa. Ini dinamakan kerakusan. Mereka dapat jadi Perdana Menteri pun, tidak puas lagi. Kerana apa? mereka obses dengan kuasa. Bukan obses membela rakyat.
"Hari ini, negara teruk, rakyat kesian. Ada yang sehingga bunuh diri. Adakah nak tengok lebih ramai yang bunuh diri? tetapi, pemimpin melayu UMNO ketika ini rakus mahukan PRU kerana gilakan kuasa,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca