SHAH ALAM - Pemilihan UMNO tidak dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertujuan bagi mengelakkan perpecahan dalaman parti berlaku. Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor berkata, perkara tersebut diputuskan adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemilihan UMNO tidak dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertujuan bagi mengelakkan perpecahan dalaman parti berlaku.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor berkata, perkara tersebut diputuskan adalah bukan sebagai satu strategi untuk menyelamatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kes-kes mahkamah yang dihadapinya.

"Itu persepsi yang dibuat oleh pembangkang. Kalau buat pemilihan dahulu sebelum PRU (Pilihan Raya Umum), parti akan berpecah. Apabila membuat perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ia bukan hanya keputusan Ahmad Zahid seorang.

"Kita telah keluarkan idea bahawa pemilihan perlu dibuat selepas PRU kerana kita perlu menjaga parti. Tidak timbul soal Ahmad Zahid nak larikan diri dari tuduhan mahkamah.

"Pemilihan dahulu sebelum PRU hanya akan memecahkan parti. Di situ akan jadi masalah nanti kerana sudah tiada tempat untuk orang Melayu berlindung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi ke-355 yang bertajuk Pemimpin Melayu Rakus yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Dari kiri, Ismail, Noor Hariri, Hazmi dan Nurul Ashikin ketika hadir di Wacana Sinar edisi ke-355 pada Jumaat.

Turut hadir sebagai panelis adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Hazmi Hassan dan Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas mengenai kerelevanan parti tersebut terhadap rakyat, beliau berkata, UMNO masih lagi relevan dalam mentadbir negara dan menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat pada ketika ini.

"Bagi saya, selepas kita lalui perubahan kancah politik bermula 2018 sehingga hari ini, sudah empat tahun. Rakyat boleh menilai parti mana pemimpin politik mana yang boleh membantu rakyat.

"Saya rasa rakyat sendiri sudah ada pilihan dan telah sedar yang mana pilihan yang mereka buat pada 2018 adalah silap kerana termakan hasutan, kata manis yang diberikan. Bagi saya, kerelevanan pemimpin politik UMNO masih kekal relevan. Relevan untuk rakyat,” ujarnya.

Menjawab dakwaan UMNO berpecah kepada dua kem, Noor Hariri berkata, ia merupakan satu tuduhan yang tiada berasas oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Dakwaan boleh dibuat. Bagi saya tidak wujud dua kem. Hanya ada satu kem iaitu di bawah Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca