DALAM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, antara fenomena yang menarik diperhatikan ketika itu adalah gerakan undi rosak. Gerakan tersebut mendapat sokongan popular di platform maya dan dalam talian terutamanya media sosial di sebalik... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, antara fenomena yang menarik diperhatikan ketika itu adalah gerakan undi rosak.

Gerakan tersebut mendapat sokongan popular di platform maya dan dalam talian terutamanya media sosial di sebalik penganjuran yang bersifat anonymous (tidak ketahui dan tanpa organisasi).

Gerakan #UndiRosak ketika itu membawa saranan kepada pengundi supaya melakukan undi rosak, walaupun mereka hadir mengundi. Uniknya, tindakan ini bukanlah satu bentuk protes, tetapi ia mirip kepada ketidakakuran sivil yang pasif dan bukannya penolakan sistem secara keseluruhan.

Beberapa faktor yang membawa kepada gerakan itu. Antaranya kerana muak dengan sikap politikus, kecewa dengan institusi negara serta hilang keyakinan dengan mekanisme undi dan pilihan raya itu sendiri.

Disebabkan itu, undi rosak dilakukan sebagai ‘ugutan’ kepada orang politik, baik kerajaan ataupun pembangkang yang berhadapan dengan pilihan raya paling kritikal dalam karier politik mereka.

Umumnya, mereka yang mendukung gerakan ini melihat pilihan raya sebagai ‘ekspresi demokrasi yang lemah’ kerana ia sekadar alat orang politik untuk terus berkuasa.

Pengundi hanya sekadar komoditi untuk mengabsahkan kekuasaan mereka menerusi jalan rasmi (pilihan raya). Setelah semuanya selesai, mereka dilupakan dan tidak diendahkan.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sudah lama berlaku cuma mungkin tidak secara besar dan tersusun sehinggalah gerakan #UndiRosak ini timbul. Walaupun ketika PRU14 ia tidak mendapat sambutan, risiko untuk gerakan sedemikian kembali dalam PRU15 tetap ada.

Faktor-faktor yang membawa kepada gerakan undi rosak ketika PRU14 jelas masih ada. Ketidakstabilan politik, gelagat mual orang politik dan kekecewaan rakyat dengan institusi negara nampaknya masih kuat dan makin menebal.

Dengan pertambahan pengundi terutamanya selepas pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik yang membesarkan undi kelompok muda, potensi untuk undi rosak atau lebih parah, enggan mengundi adalah tinggi disebabkan hal tersebut.

Firma Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE) melaporkan, ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, jumlah undi rosak adalah sangat tinggi sehingga mencecah 25,953 di samping turut mengulangi kisah serupa dalam empat PRN sebelumnya dengan catatan peratusan keluar mengundi yang paling rendah iaitu 54.9 peratus berbanding Sabah (66.6 peratus), Melaka (65.8 peratus) dan Sarawak (60.6 peratus).

Ironinya, PRN Johor merupakan pilihan raya pertama yang mengguna pakai Undi 18 dan pendaftaran automatik yang meningkatkan jumlah pengundi kepada hampir 2.6 juta berbanding 1.8 juta dalam PRU14.

SENTIMEN DAN PERSEPSI

Dalam pilihan raya, peratusan keluar mengundi menjadi tanda aras terpenting bagi menyukat tahap partisipasi dan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi. Secara tidak langsung ia juga turut membawa indikasi kepada sikap, kesedaran, sentimen dan persepsi semasa terhadap prestasi institusi politik negara.

Mengambil kira status quo rakyat terhadap orang politik, defisit keyakinan dan krisis ketidakpercayaan terhadap politik sudah sampai takat keras dan tepu.

Maka, tidak mustahil gerakan undi rosak ini akan kembali bergema, malah melarat kepada gerakan tidak keluar mengundi. Kalau ini berlaku, negara akan berhadapan dengan kelesuan politik yang berpanjangan.

Persoalannya, sehingga kini masih belum ada langkah-langkah proaktif diambil bagi mengatasinya, di sebalik fakta PRN Johor yang memperlihatkan seriusnya permasalahan tersebut.

Mungkin benar rakyat mahu merosakkan undi atau tidak mengundi disebabkan protes, bosan dan kecewa dengan politik. Namun apa yang telah, sedang atau bakal dilakukan bagi mencegahnya?

Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menggerakkan kempen kesedaran dan pendidikan pilihan raya yang bersifat superfisial.

Itu pun dilihat terhad dan sangat asas menerusi Akademi Pilihan Raya (APR) – mendidik pengundi tentang proses dan tata kelola pilihan raya yang barangkali boleh dilakukan oleh kelab atau persatuan belia dan pelajar.

Kredit kepada SPR atas peranan yang baik dalam mengelola dan memastikan kelancaran pilihan raya negara.

Namun di sebalik keluhan mereka setiap kali gagal mencapai sasaran peratusan keluar mengundi dan ancaman baharu undi rosak serta boikot mengundi, mungkin sudah tiba masa SPR menjadi sedikit proaktif dengan melakukan kerjasama strategik dengan institusi, agensi atau pemegang taruh lain dalam menangani permasalahan ini.

*Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca