BARU-baru ini, seorang kawan saya mengeluh. Katanya dia tidak dapat bonus. Orang lain semuanya dapat. Tidaklah dia tahu apa sebabnya. Kalau hendak dikira rajin juga orangnya. Semua kerja dia buat. Bak kata orang putih ‘multitasking’.... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini, seorang kawan saya mengeluh. Katanya dia tidak dapat bonus. Orang lain semuanya dapat. Tidaklah dia tahu apa sebabnya. Kalau hendak dikira rajin juga orangnya. Semua kerja dia buat. Bak kata orang putih ‘multitasking’.

Namun, apakan daya, sudah nasibnya. Bak kata pepatah, tarik muka dua belas lagaknya. Ada orang kata rezeki tidak salah alamat. Kalau sudah rezeki kita, apa pun yang yang kita buat akan mendapat juga akhirnya.

Kalau melakukan sesuatu yang tidak baik, maka hasilnya juga tidak baik. Walaupun pada awalnya sangkaan kita ia baik, tetapi akan kecewa juga seperti katanya pepatah lagi, menjilat keluan bagai kerbau.

Yang menariknya dia tidak berputus asa, dan dengan semangat kental, bertanya kepada majikannya kenapa dia tidak mendapat bonus. Yang menariknya juga, majikannya seperti katanya pepatah, tidak tahu antah terkunyah.

"Itu keputusan pihak atasan.”Saya rasa pelik juga. Kalau kita hendak memberi bonus kepada seseorang, contohnya dari sudut pandangan sebagai majikan, mestilah tahu justifikasinya, mungkin kerana orang itu hebat, rajin dan produktif.

Kalau sebagai majikan memilih untuk tidak memberi pula, mestinya ada sebabnya. Dan apabila ditanya kenapa, maka perlulah ada jawapan yang disediakan kepada pekerja yang bertanya itu untuk perhatiannya.

Jawapan yang diberi itu, mungkin dapat memberi peluang kepada pekerja itu untuk memperbaiki lagi akan prestasinya. Jika tidak diberitahu, bagaimana pekerja dapat membaiki prestasinya. Setiap perkara yang dilakukan mestilah ada sandarannya.

Walaupun begitu, mungkin majikannya ada sebab tersendiri. Namun sikap majikan yang tidak hendak memberitahu akan sebab, menunjukkan akan kelemahan majikan itu sendiri. Maka kecewalah akan kawan saya itu.

Sebagai majikan pula hendaklah mengambil berat akan pekerjanya. Senantiasa memastikan supaya pekerjanya mempunyai motivasi yang tinggi. Pada masa yang sama berilah sesuatu yang setimpal akan usahanya.

FITRAH MANUSIA

Setiap amalan yang kita lakukan ada ganjarannya. Sudah fitrah manusia untuk mengharapkan ganjaran selepas melakukan sesuatu. Ganjaran yang diberi itu adalah sebagai galakan untuknya terus lakukan perkara yang baik-baik sahaja.

Manusia, fitrahnya begitu akan kejadiannya, tetapi ada yang tidak mahu berfikir, merasakan dengan tidak memberi apa-apa tiada apa yang tidak betulnya. Dan akhirnya kawan saya itu telah meletakkan jawatan.

Bak kata pepatah lagi, lalang ditanam masakan tumbuhnya padi. Ada benarnya akan pepatah ini. Apa yang ditanam itulah yang dituai. Tidak boleh menjadi sebaliknya, tidak boleh cempedak menjadi nangka melainkan dalam pantun Melayu sahaja cempedak boleh menjadi nangka secara tersirat.

Cuma apabila saya tilik-tilik, keadaan zaman sekarang banyak berubah. Pepatah lalang masakan menjadi padi seolah-olah tidak boleh dipakai lagi terutama pada zaman moden dan berteknologi tinggi ini. Yang baik mendapat hasil yang tidak baik, yang tidak baik mendapat hasil yang baik pula.

Kalau mengikut pepatah lalang ini, tidak mungkin berbuat sesuatu yang jahat hasilnya baik. Tetapi zaman sekarang sudah berubah. Ada orang berbuat jenayah tukang curi, tukang rogol, tukang samun dan tukang rasuah pun mendapat hasil yang baik juga.

Lalang yang ditanam itu mungkin diharapkan menghasilkan beras Basmati. Mereka sudah lupa lalang itu boleh menyebabkan kulit menjadi gatal. Maka lalang ini akan mendongak ke langit, merasakan mereka bukan lalang lagi.

Buat jahat pun mendapat balasan baik juga. Mereka merasakan apa yang dilakukan selama ini bukan jahat. Semuanya yang mereka lakukan baik dan tidak salah. Kalau tidak, fikir mereka, masakan ramai yang menyayangi lalang.

Dan kita semakin hari semakin keliru, siapa yang lalang atau siapakah yang padi?

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca