SHAH ALAM - Selepas dua tahun Aidiladha disambut dalam suasana terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengekang penularan wabak Covid-19, ibadah korban kali ini dijangka dirai dengan suasana lebih meriah. Pastinya, umat Islam di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas dua tahun Aidiladha disambut dalam suasana terhad susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengekang penularan wabak Covid-19, ibadah korban kali ini dijangka dirai dengan suasana lebih meriah.

Pastinya, umat Islam di seluruh negara tidak sabar untuk menunaikan ibadah sunat muakkad itu memandangkan tiada lagi sekatan.

Menariknya kali ini, pelbagai cara yang dilakukan oleh orang ramai untuk meraikan ibadah korban, antaranya jawatankuasa Surau Nurul Huda di Taman Tasek Putra, Tronoh mengumpul wang menggunakan sistem kutu bagi memberi peluang lebih ramai golongan kurang berkemampuan menyertai ibadah itu.

Turut mendapat perhatian, seekor lembu sado baka Charolais seberat lebih satu tan antara 24 ekor lembu yang bakal dikorbankan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu pada Hari Raya Aidiladha nanti.

Keterujaan itu diakui penternak yang menyifatkan mereka ‘tidak cukup tangan’ melayan permintaan pelanggan yang ingin mendapatkan haiwan korban.Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), permintaan lembu dan kerbau untuk tujuan ibadah korban di seluruh negara pada tahun ini dianggarkan mencecah sejumlah 38,265 ekor.

JUMLAH KORBAN MENINGKAT

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (KV), Dr Akma Ngah Hamid berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding hanya 1,278 ekor lembu dan kerbau yang dikorbankan pada tahun lalu.

AKMA

Menurutnya, jumlah kambing dan biri-biri korban pada tahun ini turut meningkat kepada 21,707 ekor berbanding 226 ekor, tahun lalu.

"Setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk korban adalah sebanyak 38,265 ekor.

"Anggaran harga lembu dan kerbau adalah antara RM19 hingga RM22 per kilogram (kg), manakala kambing dan biri-biri antara RM30 hingga RM35 kg,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Akma berkata, sebanyak 27 rumah sembelih jabatan di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi.

Katanya, 10 daripada rumah sembelih berkenaan memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan daripada Australia.

"Sehingga tahun ini, DVS mengeluarkan lesen kepada 35 rumah sembelih ruminan swasta di seluruh Semenanjung Malaysia dan boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban,” ujarnya.

Beliau berkata, penyembelihan di luar rumah sembelih seperti di masjid, sekolah, taman perumahan dan tempat awam diberi kebenaran melalui permohonan permit.Katanya, permit itu boleh didapati di rumah sembelih jabatan serta jabatan perkhidmatan veterinar negeri dan daerah.

"Dokumen Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) wajib ada bagi semua ternakan untuk tujuan penyembelihan korban.

"DVS juga telah menerbitkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban sebagai panduan,” ujar beliau.

Jelas Akma, penguat kuasa veterinar dan pihak berkuasa turut menjalankan pemeriksaan di jalan raya bagi memastikan hanya haiwan korban yang dipindahkan atau dibawa ke tempat penyembelihan mempunyai permit pindah yang sah.

"Pegawai Pemeriksa Daging ditempatkan di tempat penyembelihan bagi memastikan daging yang keluar daripada tempat ini selamat untuk pengguna,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca