INSYA-ALLAH, esok kita akan menyambut Hari Raya Korban. Saya percaya, ramai yang sudah balik ke kampung untuk menyambut bersama ahli keluarga.
Bagi yang melaksanakan ibadah korban, selain daripada mengagihkan daging kepada mereka yang tidak berkemampuan, sebagai hadiah untuk saudara-mara serta untuk kegunaan sendiri, sudah tentu tidak sabar untuk makan daging yang segar dan enak.
Namun, kita dinasihatkan untuk kurang memakan organ dalaman termasuklah hati kerana boleh memudaratkan kesihatan. Justeru, jika secara fizikalnya makan hati boleh memudaratkan, apatah lagi jika kita ‘makan hati’.
Sebetulnya, makan hati adalah peribahasa Melayu yang bermaksud; berasa susah hati kerana perbuatan orang lain.
Namun ada juga yang menggunakan peribahasa ‘makan hati, berulam jantung’.
Sebagai manusia yang normal, setiap individu akan mengalami situasi ‘makan hati’ disebabkan oleh beberapa punca dan keadaan. Namun, sikap ‘makan hati’ yang berpanjangan boleh memudaratkan seseorang dalam jangka masa panjang.
Menurut perspektif psikologi, ‘makan hati’ adalah berkait rapat dengan ‘take something personally’. Yang jelas, seseorang itu mudah tersinggung dalam apa jua perkara yang bertentangan dengan jiwa dan kehendaknya. Natijahnya, mereka akan berada dalam keadaan mood yang tidak baik.
Berkaitan dengan mood, sama ada baik atau buruk agak berbeza dengan emosi seseorang. Menurut Paul Thagard menerusi artikelnya, ‘What are moods’ yang diterbitkan oleh Psychology Today. "Mood mengambil masa lama untuk kembali normal berbanding dengan emosi.
Ini kerana, dorongan emosi disebabkan sesuatu yang spesifik berbanding dengan mood yang sukar dikenal pasti puncanya. Selain itu, mood seseorang adalah bersifat umum, manakala perubahan emosi disebabkan tindak balas terhadap sesuatu isu dan situasi.
Pun begitu, pengaruh emosi lebih mencengkam hati berbanding dengan mood. Ini kerana, mood seseorang agak sukar dikenal pasti sehinggalah mereka bertindak balas terhadap apa jua situasi yang baik atau buruk”.
Di samping itu, ‘makan hati’ juga boleh mendorong seseorang itu mengalami ‘Low Frustration Tolerance’ atau toleransi terhadap kekecewaan begitu rendah sekali. Natijahnya, mereka cenderung untuk menarik diri dan menyendiri daripada bersosialisasi.
JANGAN LEMAH SEMANGAT
Menurut perspektif Islam, kita dituntut membina jiwa yang kuat bagi menghadapi cabaran dan tanggung jawab dalam kehidupan. Menurut Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda; "Seorang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dicintai oleh ALLAH daripada seorang mukmin yang lemah, dan dalam masing-masing keduanya itu terdapat kebaikan.
Bersungguh-sungguhlah terhadap sesuatu yang bermanfaat bagi kamu dan jangan lemah semangat.
Jika sesuatu perkara mengalahkan kamu, maka katakanlah, ‘ketentuan ALLAH telah ditetapkan, dan suatu yang telah Dia kehendaki maka akan terjadi. Dan jauhilah oleh kamu dari ucapan ‘seandainya’ kerana sesungguhnya ungkapan ‘seandainya’ membuka peluang masukknya syaitan (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Di samping itu, jiwa kita perlu kuat kerana kesedihan dan kegembiraan adalah sifat yang bersilih ganti. Menurut Amru Khalid menerusi bukunya Ghayyir Nafsaka (Perubahan Diri); "Seluruh manusia di alam ini tidak mempunyai kekuatan yang hakiki untuk menjadi mulia atau hina.
Hanya ALLAH SWT yang mempunyai kekuasaan untuk menentukan kehinaan dan kemuliaan. Seseorang yang dimuliakan pada hari ini, tidak mustahil akan menjadi hina pada keesokan harinya. Hakikatnya, hal berkenaan perlu menjadi iman kepada kita. Oleh itu, kita sangat memerlukan ALLAH SWT supaya dapat hidup dengan penuh kehormatan”.
Namun begitu, jika kita kekal untuk ‘makan hati’ dan tidak berusaha untuk keluar daripada lingkungan berkenaan, tentunya akan bersedih untuk selamanya.
Semoga semangat korban menamatkan rangkaian ‘makan hati’.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca