SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bukan punca orang Melayu berpecah seperti yang dimomokkan oleh sesetengah pihak.
Ketua Pejuanita Muda Malaysia, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, tuduhan yang mengaitkan Tun Mahathir sebagai punca perpecahan Melayu di negara ini tidak benar dan beliau tidak sepatutnya dipersalahkan.
"Adakah Tun dibuang atau Tun sendiri yang ingin keluar? Kalau tengok semasa beliau bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun dipecat ,sewaktu dalam UMNO, dilucutkan keahlian, bukan Tun yang nak keluar dan mewujudkan perpecahan,” katanya dalam Wacana Sinar edisi ke-355 yang bertajuk ‘Pemimpin Melayu Rakus’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut hadir sebagai panelis adalah Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohd Noor dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Menurutnya, Tun Mahathir sekarang berumur 97 tahun , tapi masih lagi agresif berbicara tentang Melayu dan mahu Melayu itu berjaya dan memegang tampuk kuasa.
"Jadi di mana bukti yang mengatakan Tun Mahathir itu menyebabkan Melayu berpecah kerana tamak kuasa dan sebagainya,” katanya.
Jelasnya, Pejuang ditubuhkan sebagai alternatif kepada orang Melayu, jika hanya UMNO sahaja parti Melayu yang wujud tidak ada pilihan lain maka segala korupsi, salah guna kuasa pemimpinnya terpaksa orang Melayu telan.
"Sebab itu kena wujudkan parti lain dengan sendirinya pemimpin baru dan baik akan wujud dan Pejuang ini memang parti Melayu tetapi kita tidak menafikan kelebihan bagi kaum-kaum lain,” katanya.
Mengulas mengenai UMNO/Barisan Nasional (BN) masih menjadi pilihan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, Nurul Ashikin berkata ia bukan kayu pengukur bahawa UMNO masih relevan dan menjadi pilihan bangsa Melayu.
"Melayu memang dah tolak UMNO lama dah , PRN Johor hanya 53 peratus orang keluar mengundi, 47 peratus lagi tidak keluar mengundi.
"Dan dengan 47 peratus orang tidak keluar mengundi itu tidak semestinya menyokong BN, undi popular juga tidak bersama mereka dan peratusan tidak keluar mengundi itu sangat tinggi,” katanya.
Jelasnya, ada perpecahan undi yang ketara, jika BN dapat undi yang sedikit pun dia akan menang dan kita juga akui pembangkang juga tidak bersatu ketika ini.
"Jika kita hendak nilai betul-betul kita lihat semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), BN ditolak secara total," katanya.
Tambahnya lagi, kerajaan yang mentadbir hari ini bukanlah kerajaan yang dipilih menerusi pilihan raya, seperti di Melaka, pengundi yang keluar sangat rendah jadi tidak boleh kata kemenangan BN sebab orang Melayu sokong, jadi kena tunggu keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Klik di sini untuk terus membaca