BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe maut beberapa jam selepas ditembak ketika berkempen di wilayah Nara, barat Jepun pada Jumaat.
Insiden bukan sahaja menggemparkan seluruh komuniti dunia tetapi juga Jepun sendiri di mana keganasan politik amat jarang berlaku dan undang-undang pemilikan senjata amat ketat.
Abe, 67, yang sedang menyampaikan ucapan ditembak sebanyak dua kali dari jarak dekat oleh seorang bekas anggota Pasukan Pertahanan Diri Maritim juga dikenali sebagai Tentera Laut Jepun.
Tetsuya Yamagami, 41, yang ditangkap sejurus kejadian dilaporkan tidak berpuas hati dengan Abe dan memang berniat membunuh bekas Perdana Menteri itu.
Di sebalik insiden tragis itu, selain motif serangan, ramai tertanya-tanya di mana silapnya kawalan keselamatan sehingga Yamagami mampu bolos dan melepaskan tembakan dari jarak 3.05 meter dengan senjata api buatan sendiri.
Menurut Pakar Kajian Keselamatan dan Anti-Keganasan, Profesor Madya Dr Mohd Mizan Aslam, insiden dipercayai bukan dilakukan oleh kumpulan teroris dan tidak bermotifkan ideologi tertentu tetapi lebih kepada tindakan secara individu.
"Serangan yang dilakukan oleh pelaku lebih bersifat kebencian peribadi pelaku terhadap Abe dan ia dikaitkan dengan serangan ‘lone wolf terrorism’ yang mana dilakukan secara bersendirian untuk memenuhi objektif peribadinya,” kata Mohd Mizan kepada Sinar Premium pada Jumaat
UNDANG-UNDANG SENJATA PALING KETAT
Ujarnya lagi, walaupun Jepun mempunyai undang-undang senjata antara paling ketat di dunia, dalam kes ini pelaku berupaya mencipta senjata buatan sendiri.
"Senjata yang telah diubah suai daripada paip dan bahan-bahan lain yang mudah didapati di Jepun.
"Undang-undang berkaitan pemilikan senjata api adalah ketat di Jepun, maka dipercayai si pelaku mempelajari teknik pembuatan senjata api ini melalui internet dan pengetahuan beliau semasa menganggotai Pasukan Pertahanan Diri Maritim.
"Serangan yang lebih kurang serupa kali terakhir direkodkan pada tahun 2017 dengan senjata ciptaan menggunakan teknologi cetakan 3D,” katanya lagi.
Untuk rekod, undang-undang senjata di Jepun tidak membenarkan orang awam memiliki pistol dan pemburu berlesen hanya boleh memiliki senapang.
Dalam pada itu, kegagalan kawalan keselamatan dan sikap sambil lewa polis khas terhadap Abe juga boleh dilihat sebagai punca kejadian ini.
"Berikutan kes sebegini amat jarang berlaku, maka kawalan keselamatan menjadi longgar tanpa penyeliaan yang ketat yang mengakibatkan kematian Abe,” ujarnya lagi.
MOTIF POLITIK ATAU KEBENCIAN?
Beliau juga tidak menolak kemungkinan mungkin bermotif politik, kebencian terhadap Abe yang banyak melakukan perubahan drastik berkait ekonomi, akta senjata api dan akta kesihatan emosi mungkin menjadi punca kebencian kepada sesetengah kelompok yang terjejas.
"Pelaku juga berkemungkinan mengalami masalah mental dan kemurungan teruk. Jepun memang terkenal sebuah negara yang mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi di dunia, dipercayai juga pelaku mengalami tekanan perasan diakibatkan politik dan membina tahap kebencian dalam dirinya terhadap Abe sejak beberapa tahun yang lalu,” katanya.
Abe menjadi Perdana Menteri Jepun termuda pada tahun 2006 ketika berusia 52 tahun dan beliau juga merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat untuk Negara Matahari Terbit itu bermula pada September 2006 hingga September 2007 diikuti Disember 2012 hingga September 2020.
Beliau kemudian bersara atas alasan kesihatan namun mengekalkan dominasi terhadap parti pemerintah, Parti Liberal Demokratik (LDP).
Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida menyifatkan serangan sebagai satu tindakan kejam yang berlaku semasa pilihan raya, iaitu asas demokrasi Jepun dan ia sememangnya tidak boleh dimaafkan.
Klik di sini untuk terus membaca