KETIKA lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye baru-baru ini dan semasa pertemuan dengan Presiden negara itu, isu kerjasama industri pertahanan antara Malaysia dan Turkiye telah dibangkitkan oleh kedua-dua pihak.
Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai hab industri pertahanan moden di rantau ASEAN dan kerjasama yang bakal diwujudkan akan ‘membuka jalan’ dengan program timbal balik menyaksikan pemindahan teknologi terutama dalam bidang teknologi platform udara dan dron.
Antara langkah pertama merealisasikan hal itu adalah dengan pembukaan kilang berkaitan industri tersebut di Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, pembinaan kilang tersebut akan dilaksanakan sebaik sahaja tender pembekalan dron dimuktamadkan dan cadangan pembelian dron diluluskan Kementerian Kewangan.
Bagi pemerhati dan pemain industri pertahanan, ia boleh dilihat sebagai peluang yang baik untuk melangkau lebih jauh.
Ia juga selaras dengan dua daripada matlamat utama Strategi Pertahanan dalam Kertas Putih Pertahanan 2020-2030 yang dihasilkan oleh Kementerian Pertahanan iaitu pengukuhan kapasiti pertahanan melalui perkongsian berwibawa dan pemajuan industri pertahanan sebagai pemangkin ekonomi.
Perkara yang mahu dilaksanakan seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Yang menimbulkan kegusaran, jika diteliti program-program industri pertahanan sebelum ini yang sepatutnya membuahkan natijah, perkara sebaliknya pula berlaku dan ia amat mengecewakan.
Mungkin ada mempertikaikan kenyataan itu. Sebenarnya tidak sukar menilai apakah program-program pemindahan teknologi berkaitan pertahanan sebelum ini yang dikaitkan dengan perolehan aset berteknologi tinggi telah memberi manfaat sepatutnya dan berbaloi dengan kos tinggi yang telah dibiayai rakyat jelata.
Kita boleh menelusuri sejarah untuk mendapatkan maklumat tepat. Pada 1996, Syarikat NADI telah menjalankan usaha sama dengan firma Austria, Steyr-Mannlicher bagi menghasilkan raifal tempur Styer AUG A1 dan Styer AUG A3.
Sasaran usaha sama itu menyasarkan penghasilan 15,000 hingga 20,000 laras raifal tersebut setahun bagi pasaran Asia Pasifik, Eropah dan Asia Barat, namun telah menemui kegagalan dan jalan buntu.
Pada 2006, kerajaan mengambil keputusan menggantikan senjata Styer AUG A1 dengan M4 yang dihasilkan syarikat Colt Amerika Syarikat. Sekali lagi, SME Ordnance Sdn Bhd telah diberikan kebenaran oleh syarikat asal M4 iaitu Colt Defense LLC untuk mengilangkan senjata M4 di Malaysia. Malangnya ia juga menerima nasib sama – menemui kegagalan.
Pada 2013, pemain industri pertahanan negara rasa teruja dengan pengumuman projek Taman Teknologi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MDSTP) yang bakal dibangunkan di Sungkai, Perak.
Ia dikatakan bakal menarik minat syarikat tempatan dan asing termasuk dari Eropah serta Amerika Utara bagi tujuan pelaburan teknologi pertahanan utama dengan infrastruktur dan perkhidmatan canggih bagi mempercepatkan pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), sains, teknologi dan inovasi tempatan untuk industri keselamatan serta pertahanan.
Seperti telah tertulis skrip sebuah novel sedih sebelumnya, ia juga gagal menjadi kenyataan.
Jika faktor sekatan dan gangguan kerjasama dengan firma luar dijadikan alasan utama kegagalan peningkatan teknologi dan aset pertahanan, kita hanya perlu menyingkap sejarah sedih pembangunan sistem pesawat tanpa pemandu yang bersusah payah dibangunkan oleh anak tempatan, namun seakan-akan ‘dianaktirikan’ oleh pihak berwajib sehingga ia kini berkubur tanpa nisan.
Sejarah pembangunan dron Turki umpamanya bermula pada awal 2000, hampir sama dengan tarikh pembangunan dron oleh firma-firma tempatan di Malaysia.
Pada awalnya, dron Anka Turki turut dilengkapkan dengan pelbagai komponen yang diimport dari negara lain termasuklah enjin, gear pendaratan, komputer informasi data, radio, penderia dan sistem pod penentuan sasaran.
Namun, program dron Turki telah disokong sepenuhnya oleh kerajaan Turki dengan matlamat, pelan pembangunan dan objektif yang jelas. Ia berbeza dengan program dron di Malaysia yang kadangkala tidak diketahui arah hala tujunya dan kabur objektifnya.
Hari ini Turki berbangga memiliki dron yang menjadi buah mulut global dengan prestasi terbukti di medan tempur dari Eropah sehingga ke Afrika, manakala Malaysia masih terkial-kial untuk membangunkan semula industri dronnya.
*Muhammad Fuad Mat Nor ialah penganalisis pertahan dan pernah menerima anugerah wartwan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca