PADA 1992, Malaysia berjanji memberikan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan. Lantaran itu, ada pihak berpendapat bahawa kita perlu berbangga kerana negara masih... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 1992, Malaysia berjanji memberikan komitmen untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.

Lantaran itu, ada pihak berpendapat bahawa kita perlu berbangga kerana negara masih berjaya mengekalkan kawasan berhutan yang secara relatifnya luas jika dibandingkan dengan negara lain. Aktiviti pencerobohan dan pembalakan haram juga dikatakan masih terkawal.

Namun, satu pihak lagi berpendapat masalah berkaitan perhutanan begitu serius sehingga mendatangkan bencana alam seperti banjir besar. Hakikatnya, melenyapkan terus dirian hutan semula jadi yang asal bukan sahaja memusnahkan ekosistem secara keseluruhan, malah mengundang kepupusan spesies akibat kehilangan habitat.

Masalah lebih besar adalah kehilangan sumber kehidupan komuniti, ancaman keselamatan air, makanan dan kesihatan serta ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Umumnya, hutan tanah tinggi terdedah kepada amalan guna tanah yang tidak lestari, eksploitasi berlebihan dan pencerobohan langsung atau tidak langsung terutama dalam zon yang mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Merujuk laporan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, lebih 42 peratus kawasan pertanian di Cameron Highlands diusahakan pada kawasan bercerun melebihi 25 darjah iaitu tahap maksimum dibenarkan oleh undang-undang, 23.0 peratus lagi diusahakan di kawasan dengan kecerunan antara 20 hingga 25 darjah dan selebihnya diusahakan di kawasan berkecerunan kurang 20 darjah.

Data itu menunjukkan hampir separuh daripada perusahaan pertanian di tanah tinggi itu telah melanggar peraturan dan panduan tanaman bercerun yang telah ditetapkan undang-undang. Ia antara faktor menyumbang kepada larian air yang laju semasa hujan, seterusnya peningkatan bencana banjir.

Penerokaan kawasan legeh dan kawasan berhutan terutama di kawasan bukit atau pergunungan secara berleluasa mengundang ‘bencana’ tidak dijangka. Maka, di bawah laporan penilaian impak alam sekitar (EIA), sebarang projek pembangunan di paras ketinggian melebihi 300 meter dari aras laut adalah tidak dibenarkan.

Malah, apabila dikaitkan dengan bencana, terdapat segelintir pemaju atau syarikat yang menukar guna tanah hutan dikesan tidak membuat EIA sebelum melaksanakan projek mereka dan usaha mengelak daripada proses EIA bukanlah perkara baharu.

Justeru, menyalahkan alam semula jadi seperti taburan hujan sangat tinggi, selain menolak faktor aktiviti pembalakan dan perubahan guna tanah hutan kepada guna tanah lain sebagai pencetus utama banjir adalah tidak bertanggungjawab.

Semua itu pasti mengundang bencana. Terbaharu, tragedi Kampung Iboi, Baling yang mengorbankan tiga nyawa, selain menjejaskan 1,500 penduduk.

Hakikatnya, jika semua kerajaan negeri terus membenarkan penukaran guna tanah hutan walaupun Malaysia mempunyai komitmen antarabangsa berkenaan hutan, bencana alam berpunca daripada penebangan hutan berleluasa dan kegagalan dalam perancangan fizikal akan terus menyaksikan kejadian banjir, tanah runtuh, longgokan sisa kayu balak serta banjir lumpur akan berterusan.

Jadi, cadangan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) agar kerajaan menarik balik kelulusan pembalakan secara tebang habis di kawasan hutan simpanan kekal (HSK) seperti dinyatakan dalam Dasar Perhutanan Negara di bawah Seksyen 19, Akta Perhutanan Negara 1984 adalah realistik.

Cadangan lain adalah mewartakan atau mengezonkan keseluruhan kawasan HSK di semenanjung sebagai kawasan sensitif alam sekitar tahap satu dan dua di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN).

Bermakna, tiada sebarang pembangunan boleh diluluskan melainkan aktiviti ekopelancongan terkawal, konservasi, penyelidikan dan pembalakan secara terpilih atau lestari.

Akhirnya, janganlah ungkapan ‘kita akan mempunyai pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar dan akan meneruskan pembangunan lestari’ sekadar ungkapan semata-mata.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca