MELAKA - Kesempitan hidup keluarga menyebabkan tiga beradik di Taman Limbongan Permai di sini adakala terpaksa ponteng sekolah untuk membantu ibu mereka berniaga makanan.
Muhammad A’imullah Nizam, 16, dan adiknya, Muhammad Iman Haikal Nizam,14, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Tuah terpaksa berbuat demikian kerana ibu mereka, Norehan Nekmat, 35, disahkan menghidap sakit jantung.
Seorang lagi adik mereka ialah Nur Aliya Shafiyyah Nizam, 10, merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan di sini.
Mereka turut mempunyai dua orang lagi adik yang masih bersekolah.
Norehan berkata, kesihatan suaminya yang bekerja sebagai pembantu am rendah tidak seperti dulu selepas terlibat dalam kemalangan beberapa tahun lalu.
Berikutan itu, katanya, dia berniaga makanan secara kecil-kecilan di depan rumah di Taman Limbongan Permai di sini bagi menyara anak dan dalam masa sama meringankan beban suami.
"Dengan cara ini sahaja saya dapat membantu suami untuk sekolahkan anak, lebih-lebih lagi harga barang sekarang makin meningkat.
"Sekurang-kurangnya mereka mempunyai duit belanja untuk ke sekolah,” katanya sambil menambah anaknya pergi ke sekolah dengan menunggang basikal.
Norehan berkata, tiga daripada anaknya itu akan membantu setiap kali pulang dari sekolah.
Dia mengakui dalam sebulan anak-anaknya akan ada hari tidak hadir disebabkan tiada duit belanja.
"Dalam sebulan pernahlah sekali dua tidak pergi sekolah kerana tidak ada duit belanja. Makanan di kantin sekolah sekarang pun sudah mahal,” katanya.
Norehan berkata, dia tidak mahu meminta-minta sebaliknya akan berusaha untuk kehidupan anak-anaknya.
Bagaimanapun, katanya, dia mendapat bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) untuk membeli pakaian sekolah.
"Cuma bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau bantuan makanan MAIM saya tidak dapat sebab tak tahu cara nak memohonnya,” jelas Norehan.
'Kalau ada duit belanja, baru boleh pergi sekolah'
Sementara itu di Port Dickson, seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di sini akur tidak hadir ke sekolah setiap kali tiada duit belanja.
M Dhaniyalaxmi, 15, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik berkata, dia tidak mahu menyusahkan ibunya yang patah tulang pinggul akibat kemalangan jalan raya pada Oktober tahun lalu.
Tambahan pula ibunya itu perlu menyara mereka tiga beranak termasuk adik lelakinya yang berusia tiga tahun dengan hanya bergantung kepada upah mengopek ikan bilis sebanyak RM200 sebulan.
Selain itu mereka juga bergantung kepada pencen mendiang bapanya daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM500 sebulan.
"Pencen bulanan Perkeso itu, emak saya buat bayar sewa rumah. Jadi tinggal upah kopek ikan bilis sahaja untuk buat belanja dan bayar bil elektrik dan air.
"Buat masa ini, kerja mengopek ikan bilis sahaja yang mampu emak lakukan sebab masih menanggung sakit akibat kemalangan dan tidak boleh berdiri lama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurut Dhaniyalaxmi, walaupun jarak sekolah dengan rumahnya tidak jauh tetapi keluarganya pernah terputus bekalan makanan, malah menyebabkannya terpaksa tidak hadir ke sekolah.
Sementara itu, ibunya, C Makesvary, 39, berkata, dia tidak lagi boleh berdiri lama dan terpaksa menggunakan kerusi roda."Saya masih menjalani rawatan susulan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban yang memerlukan kos tinggi terutama dari segi pengangkutan.
"Ada juga jiran-jiran membantu dengan menghulurkan makanan. Saya sebolehnya tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.Makesvary berkata, anaknya itu tiada pilihan lain selain mengorbankan persekolahannya serta berharap akan ada keajaiban buatnya untuk sembuh.
Klik di sini untuk terus membaca