IPOH - Disebabkan sering ponteng sekolah akibat kesempitan hidup, tiga beradik berusia 12, 11 dan 8 tahun gagal menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Suri rumah, Nur Salina Mohd Hussin, 33, berkata, pendapatan suaminya,... Klik di sini untuk terus membaca

IPOH - Disebabkan sering ponteng sekolah akibat kesempitan hidup, tiga beradik berusia 12, 11 dan 8 tahun gagal menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Suri rumah, Nur Salina Mohd Hussin, 33, berkata, pendapatan suaminya, Azahari, 37, yang tidak menentu dan sering bertukar kerja menyebabkan mereka mengalami kesulitan untuk menghantar anaknya ke sekolah.

"Saya mahu sekolahkan anak-anak dan beri mereka pendidikan sempurna seperti kanak-kanak lain. Saya tahu anak-anak saya teruja untuk pergi sekolah.

"Tapi bila tiada duit belanja, saya tidak ada pilihan lain. Anak-anak juga faham kenapa tidak dapat hantar ke sekolah pada hari tersebut.

"Melihat keadaan sekarang ini, saya memang tidak mampu walaupun sekolah dekat sahaja dengan menaiki motosikal yang dipinjam daripada kakak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Manjoi Tambahan, Gugusan Manjoi di sini.

Nur Salina berkata, dia berusaha mencari pendapatan lain dengan menjual sayur kampung dan petai di tepi jalan tetapi tidak bertahan lama kerana masalah modal.

"Perniagaan itu tidak diteruskan lagi. Emak saya (Zahariah Nawi, 65) pula sudah seminggu terlantar di hospital selepas menjalani pembedahan kaki akibat kencing manis.

"Makan pun kami tidak menentu. Ada duit bolehlah belanja barang-barang dapur. Kami amat bersyukur jika dapat kotak makanan yang diberikan ketua kampung seperti beras dan sardin. Dapatlah makan yang sedap sedikit,” katanya.

Nur Salina berkata, dia perlu berfikir panjang untuk meninggalkan anak-anaknya di rumah sekiranya keluar bekerja.

Dia juga mengakui belum menerima apa-apa bantuan daripada pihak berkaitan.

Ibu larang, anak tetap berkeras mahu bekerja

Sementara itu di Shah Alam, kos kehidupan yang semakin menghimpit menyebabkan seorang anak tekad bekerja sambilan di kedai makan walaupun masih bersekolah.

Mohammad Nizam Nasri, 16, berbuat demikian kerana mahu membantu meringankan beban ditanggung ibunya, Sarinah Selamat, 47.

Mohd Haikal mencium pipi Sarinah bagi meredakan kesedihan ibunya itu.

Walaupun ibunya melarang, bahkan dia masih di bawah umur, namun Mohammad Nizam merasakan hanya dengan cara itu dapat membantu keluarga.

Malah, remaja itu juga lebih kerap bekerja bagi menampung perbelanjaannya dan membantu keluarga sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

Lebih menyedihkan, Mohammad Nizam kerap ponteng sekolah kerana kepenatan selepas bekerja di sebuah kedai makan di kawasan kampung itu pada sebelah malam.

Sarinah ketika ditemui mengakui kehidupan mereka agak sukar selepas dia dan bekas suaminya berpisah pada tahun 2019 dan kini menjaga enam anak termasuk tiga yang masih bersekolah.

Bagaimanapun, katanya, mereka masih mampu untuk menanggung persekolahan anak berumur 16, 11 dan 9 tahun itu walaupun perbelanjaan diberikannya tidak sebanyak orang lain.

"Bekas suami masih menanggung dua anak yang bersekolah rendah. Mereka diberi belanja RM20 seminggu. Cukuplah walaupun sedikit dan setiap orang dapat RM2 sehari untuk belanja sekolah.

"Bagi anak di sekolah menengah, kakak saya ada bantu sikit. Tetapi anak sendiri mengambil keputusan bekerja sambilan walaupun saya larang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Kisah Mohammad Nizam itu pernah tular di WhatsApp apabila menghantar pesanan kepada gurunya memaklumkan tidak hadir ke sekolah kerana bekerja untuk membantu keluarga.

Menerusi tangkap layar WhatsApp berkenaan, Mohammad Nizam memaklumkan tidak mempunyai duit untuk ke sekolah dan terpaksa bekerja di kedai makan.

Perkara itu sudah berada dalam pengetahuan pihak sekolah, malah wakil pihak sekolah telah mengadakan kunjungan ke rumah keluarga terbabit.

Sementara itu, Sarinah berkata, anak lelakinya itu masih keluar bekerja walaupun selepas guru dari sekolahnya datang ke rumah beberapa hari lalu.

"Cikgu yang datang hari itu juga bantu beri wang belanja.

"Saya tak pernah tanya pasal berapa upah dia dapat. Bila saya tanya kenapa masih tidak ke sekolah, dia jawab bukan tak mahu ke sekolah tapi penat bekerja,” kata suri rumah sepenuh masa itu.

Klik di sini untuk terus membaca