KUALA LUMPUR - Di sebalik Menara Bank Islam yang tersergam indah di segi tiga emas Kuala Lumpur, mercu tanda hartanah wakaf milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu sebenarnya didirikan di atas tanah wakaf yang disumbangkan... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Di sebalik Menara Bank Islam yang tersergam indah di segi tiga emas Kuala Lumpur, mercu tanda hartanah wakaf milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu sebenarnya didirikan di atas tanah wakaf yang disumbangkan oleh Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy.

Allahyarham Ahmad Dawjee dilahirkan pada 1907 di Gujerat, India dan telah datang serta menetap di Tanah Melayu pada 1940-an.

Beliau merupakan ahli perniagaan yang memiliki aset dan saham di dalam dan luar negara.

Walaupun memiliki kekayaan, beliau hidup sederhana dan hanya tinggal di Flat Malayan Mansion, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Sebelum meninggal dunia pada 24 Januari 1987, beliau meninggalkan wasiat supaya hartanya diwakafkan dan dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan, kebajikan dan sosioekonomi umat Islam.

Pada 18 September 1991, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan MAIWP sebagai pemegang amanah harta wakaf milik Ahmad Dawjee.

Pada 2007, MAIWP telah mengorak langkah memajukan tanah wakaf milik Ahmad Dawjee di Lot 168 dan 169 Jalan Perak, Kuala Lumpur seluas 1.21 ekar.

Ia direalisasikan melalui pembinaan bangunan 34 tingkat dengan kos RM151 juta menerusi kerjasama strategik antara MAIWP, Lembaga Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia.

Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Tanah Wakaf itu telah disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 8 Jun 2007.

Menara Bank Islam itu kemudian dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah pada 19 Oktober 2011.

Projek tersebut merupakan projek wakaf komersial pertama di Malaysia.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, hartanah yang mulanya bernilai RM32 juta kini telah meningkat hampir 15 kali ganda kepada RM424 juta setelah dimajukan.

"Selain memiliki RM56.6 juta sebagai nilai pajakan, menara komersial ini akan menjadi milik MAIWP sepenuhnya selepas tamat tempoh pajakan selama 25 tahun.

"Menara Bank Islam menyediakan Surau Ahmad Dawjee yang namanya diambil sempena jasa Allahyarham dan mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah,” katanya.

Surau Ahmad Dawjee yang dinamakan sempena sumbangan wakaf Allahyarham.

Mohd Daud berkata, wakaf Ahmad Dawjee tersebut diuruskan sejak 1991 dan sehingga kini masih dalam usaha mengumpul segala saham-saham milik Allahyarham di luar negara.

"Sementara peninggalan Allahyarham yang berada di dalam negara dilaburkan untuk kegunaan ummah termasuk bantuan pendidikan Wakaf Ahmad Dawjee yang disalurkan kepada pelajar peringkat sekolah rendah hingga universiti ke arah melahirkan golongan bijak pandai dalam negara.

"Tiada kajian terperinci tetapi berdasarkan kajian saya secara peribadi sebagai seorang pengkaji wakaf, berdasarkan jumlah yang ada dan nilai semasa, Ahmad Dawjee merupakan penyumbang wakaf terbesar di Malaysia, " kata Mohd Daud.

Ahmad Dawjee turut mewakafkan satu lot kedai di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur dan dua unit rumah di Taman Melawati.

Klik di sini untuk terus membaca