SHAH ALAM - Sama ada disedari atau tidak, ramai anak-anak di Malaysia keciciran sekolah sehingga menyebabkan masa depan mereka terumbang-ambing.
Kesempitan hidup dan kemiskinan menjadi antara punya berlakunya masalah keciciran murid sekolah di negara ini.
Selain ibu bapa tidak dapat menyediakan perbelanjaan sekolah secukupnya, ada antara murid menghabiskan masa membantu ibu bapa bekerja sehingga terpaksa ponteng sekolah.
Lebih membimbangkan, sepanjang Mac 2020 hingga Julai 2021, seramai 21,316 pelajar berhenti sekolah direkodkan.
Jumlah itu bukan angka kecil, sebaliknya menimbulkan persoalan bagaimana masa depan mereka kelak apabila tiada kelulusan terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi antara syarat bagi memohon pekerjaan dalam bidang tertentu.
Kesannya, ia turut menyumbang kepada punca pendapatan rakyat di mana tingkat gaji seseorang diukur berdasarkan kelayakan pendidikan.
Situasi itu turut menyumbang kepada masalah menyediakan lebih ramai tenaga kerja berkualiti bagi negara.
Terbaharu, Lembaga Peperiksaan memaklumkan, seramai 10,681 daripada 407,097 calon berdaftar tidak hadir menduduki peperiksaan SPM 2021, sekali gus menunjukkan isu tersebut perlu diberi perhatian serius.
Timbul kebimbangan trend baharu apabila kumpulan tercicir dan mereka yang tidak mengambil SPM tidak hirau tentang kepentingan sijil atau kelayakan akademi kerana berpendapat ada pekerjaan dalam ekonomi gig seperti p-hailing sebagai sumber pendapatan.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan mengakui masalah kesempitan dan desakan hidup salah satu faktor pelajar mengabaikan sekolah sehingga tidak menduduki peperiksaan.
Justeru, beliau menggesa pelajar yang tercicir itu diberikan pembelaan sewajarnya.
"Jika tidak, ramai lagi yang tercicir dan memberi kesan kelangsungan pendidikan ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Azizee mencadangkan agar Kementerian Pendidikan (KPM) segera mengenal pasti punca dan membentangkan pelaporan tersebut dengan melibatkan pelbagai pihak.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu jawatankuasa menangani masalah keciciran pelajar di negara.
Beliau berkata, sudah tiba masanya KPM mempunyai satu pangkalan data pelajar yang keciciran akibat masalah kesempitan hidup.
"Jawatankuasa ini perlu mengenal pasti pelajar-pelajar ini. Kita nak bagi kepada pelajar yang betul-betul memerlukan.
"Kita tak mahu data yang diberikan itu data tidak tepat,” ujarnya.
Masalah besar sekiranya tiada langkah diambil
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, masalah keciciran murid disebabkan faktor kesempitan hidup adalah sesuatu yang sangat serius.
Katanya, ia berbeza dengan keciciran disebabkan perkara bersifat sementara seperti hilang tumpuan, kurangnya motivasi atau minat.
"Kita boleh membantu meningkatkan minat mereka belajar. Tetapi kemiskinan adalah satu faktor bersifat lebih panjang.
"Kalau kita tidak selesaikan dahulu masalah murid-murid miskin ini, misalnya makanan dan perbelanjaan tidak cukup, tiada kemudahan tempat belajar di rumah, ibu bapa tidak mengambil berat tentang pelajaran (anak) sebab terpaksa untuk mencari nafkah, kita akan dapati lebih ramai murid-murid tercicir dalam pembelajaran mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Anuar berkata, adalah menjadi satu kebimbangan besar sekiranya tiada langkah-langkah segera dan bersungguh-sungguh diambil oleh kerajaan.
Oleh itu, Anuar menggesa kerajaan mengesan murid-murid yang berada dalam kategori miskin atau mengalami kesempatan hidup untuk diberi bantuan khusus agar kembali belajar.
"Mungkin mereka boleh ditempatkan di asrama dan diberikan bantuan yang lebih baik, juga bantuan alat tulis, buku dan sebagainya.
"Bagi murid kategori miskin ini, sekolah-sekolah mesti memastikan mereka mendapat makanan atau di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan susu sekolah.
"Ini dapat memastikan mereka datang ke sekolah, kembali belajar dan akhirnya dapat keluar daripada masalah pembelajaran,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca