SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan nama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masih tersenarai sebagai calon bagi pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan nama Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman masih tersenarai sebagai calon bagi pelantikan Duta Besar Malaysia ke Indonesia sehingga kini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Negara itu menafikan sekeras-kerasnya spekulasi nama Tajuddin sudah digugurkan daripada pencalonan jawatan wakil pegawai tertinggi kerajaan ke negara jiran sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita tempatan pada Isnin.

Jelas Armand Azha, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Pejabat Perdana Menteri dan beliau berpandangan penyebaran spekulasi pengguguran bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai 'suara sumbang pihak yang mahu melihat perpecahan dalaman parti'.

"Setakat hari ini, saya dimaklumkan oleh pihak Pejabat Perdana Menteri, nama beliau (Tajuddin) masih ada dalam senarai pelantikan duta-duta besar ke luar negara.

"Saya anggap spekulasi pengguguran nama Tajuddin ini merupakan suara sumbang pihak tertentu yang hendak tengok perpecahan dalaman parti.

"Kena ingat, keputusan pelantikan beliau sebagai Duta Besar (Ke Indonesia) sudah dipersetujui Perdana Menteri dan cuma menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong," ujarnya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Selasa.

Pada Isnin, beberapa portal media tempatan melaporkan Tajuddin yang baru dipecat daripada jawatan ahli MKT UMNO, digugurkan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia menurut sumber kerajaan.

Sumber itu turut dipetik mengesahkan nama Tajuddin tidak terkandung dalam senarai terbaru penerima watikah pelantikan diplomat ke luar negara daripada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Menurut sumber berkenaan lagi, kerajaan 'berubah hati' mengenai pelantikan Tajuddin.

Bagaimanapun, satu lagi portal berita tempatan memetik kenyataan sumber rapat dengan pejabat Perdana Menteri yang menjelaskan pelantikan itu 'masih di landasan betul dengan surat watikah itu hanya ditangguhkan.

Mengulas lanjut, Armand Azha yang juga Ketua UMNO bahagian Subang turut mempersoalkan bagaimana ada pihak yang lebih mengetahui keputusan muktamad Yang di-Pertuan Agong bagi memperkenalkan senarai calon diplomat dipilih kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya menghormati sebarang keputusan yang dibuat atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda kelak.

"Dalam minggu ini, Yang di-Pertuan Agong akan menyerahkan surat watikah pelantikan Duta-Duta Besar Malaysia ke luar negara, jadi bagaimana ada pihak lebih mengetahui keputusan berkenaan sedang itu rahsia rasmi Istana Negara?

"Saya minta semua pihak kena hormati keputusan yang akan dibuat Seri Paduka kelak kerana ia adalah atas budi bicara dan kebijaksanaan Baginda," tegas Armand Azha lagi.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang enggan dikenali menjelaskan keputusan pelantikan Tajuddin masih kekal sebagaimana di putuskan.

"Saya enggan ulas lanjut. Saya boleh kata nama beliau sepatutnya masih 'on'," ujar ahli Parlimen berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca