BIASA dengar orang kata ‘jual ayam beli sardin’? Ia merujuk pada kebiasaan orang kampung pada masa dahulu yang menjual ayam belaan mereka untuk membeli lauk-pauk. Bukan sahaja sardin tetapi ikan, udang, sotong dan sebagainya.
Sebabnya pada masa itu orang kampung susah hendak dapat sardin dan ikan basah serta hasil laut lainnya. Ayam pula tidak menjadi masalah. Hampir semua orang menternak ayam. Ia kerja mudah.
Yang malas buat reban, dibiarkan sahaja ayam-ayam itu tidur di dahan-dahan pokok. Yang malas bagi makan nasi sejuk atau sisa makanan, biarkan sahaja ayam-ayam itu berkeliaran mencari makan sendiri.
Pada era itu ayam jarang dijadikan lauk kecuali untuk tetamu atau majlis-majlis tertentu. Ada juga ketikanya ia dijadikan sajian untuk jin, penunggu dan sebagainya dalam ritual-ritual mistik.
Pada zaman ini keadaan berbeza. Orang kampung kebanyakannya tidak lagi membela ayam. Yang di bandar janganlah cerita. Kalau nak berperang dengan jiran, cuba-cubalah bela.
Sekarang ini ayam tidak lagi diternak untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan. Ia telah bertukar menjadi industri bermodal besar. Selain itu ayam juga telah diangkat sebagai sumber makanan utama.
Walaupun yang dibela umumnya jenis ayam yang tak kenal emak bapa, yang hendak angkat kaki pun malas, terbang tak boleh, berketuk tak tahu, berkokok tak berbunyi, namun nilai pasarannya sangat besar.
Dahulu ayam dimanfaatkan dalam bentuk tradisionalnya sahaja iaitu daging. Tetapi dalam dunia baharu ini ia telah dijadikan asas kepada pelbagai produk: sosej, burger, nugget, salami dan pelbagai lagi.
Kegunaan ayam tidak terhenti di situ. Hampir setiap bahagian badannya dimanfaatkan. Bulunya yang berprotein tinggi dijadikan makanan ikan, organ dalamannya menjadi asas kepada pembikinan makanan haiwan, tahinya atau tinjanya telah sejak lama menjadi baja organik yang popular.
Statistik tidak rasmi menunjukkan lebih 50 bilion ekor ayam disembelih (termasuk dicucuk tengkuk) setiap tahun. Di Malaysia sahaja jumlahnya mencecah dua juta ekor sehari.
Disebabkan penggunaannya yang meluas, tidak hairanlah jika kenaikan mendadak harga ayam baru-baru ini menyebabkan kecoh seluruh negara. Ada yang tiba-tiba ajar anak makan ikan. Yang mula jeling-jeling itik dan burung pun ramai.
Sebenarnya cerita naik turun harga ayam bukanlah perkara baharu. Cuma untuk kali ini kadar kenaikannya agak luar biasa. Faktornya memang pelbagai. Selain permintaan yang tinggi, harga ayam dipengaruhi oleh pergantungannya kepada rantaian sedia ada iaitu baka ayam, induk ayam, anak ayam, makanan ayam, pembekal, peruncit, malah geopolitik dunia. Setiap satu ada sumbangannya.
Untuk kali ini punca paling besar ialah kenaikan kos makanan ayam. Harus diingat ayam sekarang ini manja-manja. Makan memilih. Makanannya perlu diproses dan bahan yang digunakan pula lebih 90 peratus perlu diimport. Jadi bila bahan itu naik harga, dengan sendiri mempengaruhi kos makanan ayam dan harga ayam itu sendiri.
Kita di Malaysia bernasib baik kerana kerajaan memperuntukkan lebih RM700 juta subsidi bagi membolehkan penetapan harga siling ayam. Tanpa subsidi itu barangkali sudah lama harga ayam menjadi setanding harga kambing.
Kerajaan juga pantas bertindak mengatasi masalah kekurangan ayam di pasaran. Ia termasuklah melarang eksport ayam untuk suatu tempoh dan berusaha mengekang aktiviti kartel yang mengawal pasaran ayam.
Hasil usaha itu dalam tempoh tidak sampai sebulan bekalan ayam kembali pulih dan harganya pula mula stabil.
Pun begitu kita tidak boleh berpuas hati. Dunia baharu adalah dunia yang sukar dijangka. Jadi langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi mengekang keadaan yang sama berulang. Selain berusaha mencari kaedah mengurangkan import bahan-bahan mentah untuk makanan ternakan, kerajaan juga mungkin perlu mewujudkan sebuah GLC khusus bagi menyelia industri, di samping berperanan menstabilkan harga.
Rakyat pun sama. Tidak harus duduk diam dan mengeluh semata-mata. Mana-mana yang ada ilmu, cuba-cubalah gunakan teknologi untuk menghasilkan daging ayam tiruan, yang rasa dan zatnya sama dengan ayam sebenar.
Yang ada tanah pula biasa-biasakanlah diri untuk menternak ayam sendiri. Tak kisah ayam kampung atau ayam daging. Asalkan jangan bela ‘ibu ayam’ sudahlah. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausha Politik. Mulai tahun 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca